Awal pagi yang sepatutnya tenang di bandar Hat Yai, Thailand bertukar huru-hara apabila sekumpulan kereta modifikasi dengan nombor plat Malaysia dilihat membuat aksi berbahaya dan mengganggu ketenteraman awam di kawasan berdekatan Greenway Night Market.
Menurut laporan Malay Mail, enam buah kereta dipercayai milik pelancong dari Malaysia dilihat memandu secara melulu dan membuat pusingan sebanyak tiga kali di sekitar Jalan Kanchanawanit kira-kira jam 1.30 pagi.
Lebih memburukkan keadaan, kumpulan kereta itu juga dikatakan menyekat satu lorong jalan, menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Polis Thailand Cari
Polis kini sedang menyiasat dan berusaha mengenal pasti pemilik kenderaan tersebut.
Setakat ini, pihak berkuasa percaya bahawa kereta-kereta tersebut milik pelancong dari Malaysia yang memasuki Thailand untuk bercuti.
Tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Penduduk tempatan nyata tidak berpuas hati dengan kejadian ini dan menyuarakan kemarahan mereka di media sosial serta melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa.
Isu ini bukan sekadar soal bunyi bising atau gaya pemanduan berbahaya, tetapi menyentuh soal ‘adab’ sebagai pelawat di negara orang.
Pihak berkuasa Thailand dalam kenyataan mereka memberi jaminan bahawa mereka akan memperketat pemantauan terhadap kenderaan asing, terutamanya yang menunjukkan tingkah laku tidak bertanggungjawab.