Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, menyifatkan tindakan menukar warna asal jalur gemilang kepada warna emas pada logo pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 adalah tidak wajar.

Menurut kenyataannya dalam berita RTM, penggunaan warna itu tidak mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) selain ianya boleh mengelirukan masyarakat.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) perlu mengembalikan warna asal Jalur Gemilang pada pakaian rasmi atlet kerana Akta 414 telah menetapkan Bendera Malaysia sebagai Lambang Ternyata dan Jalur Gemilang sebagai Nama Ternyata.

“Apabila satu logo, katakan logo MOM tu yang diubah warna, warna jalur gemilang itu diubah adalah sesuatu yang boleh mengelirukan masyarakat dan pada saya sebenarnya ia tertakluk kepada undang-undang itu.

“Undang-undang berkaitan dengan Akta Lambang dan Nama ini, bagi saya tidak wajar untuk diubah warna bendera Malaysia itu,” katanya kepada RTM.

Pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan itu berupa baju berkolar, baju T dan jaket yang diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah, TRX Exchange.

Pakaian ini akan dipakai oleh atlet negara sepanjang Sukan Olimpik berlangsung kecuali upacara pembukaan rasmi.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini menjelaskan bendera Malaysia berwarna emas yang terdapat di sebelah kiri pakaian tersebut sebenarnya merupakan logo rasmi MOM.

“Warna jingga, emas, hitam biru semua boleh, ini logo Majlis Olimpik Malaysia bukan bendera Malaysia, jadi tiada masalah,” katanya.