Warren Buffett mengumumkan bahawa beliau merancang untuk mengundurkan diri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Berkshire Hathaway (BRK-B, BRK-A) pada akhir tahun ini. Beliau mencadangkan Greg Abel sebagai penggantinya.
“Saya rasa telah tiba masa Greg menjadi CEO syarikat pada hujung tahun ini,” kata Buffett semasa mempengerusikan mesyuarat tahunan syarikatnya yang ke-60. “Saya mahu mencadangkan perkara ini kepada para pengarah, secara langsung.”
Lembaga pengarah Berkshire dijadualkan bermesyuarat pada Ahad, 4 Mei. Greg Abel, kini merupakan Naib Pengerusi Berkshire Hathaway telah dikenalpasti sebagai pengganti Buffett sejak tahun 2021.
Buffett menambah, “Saya akan terus menyokong dengan memberikan nasihat dan mungkin berguna dalam beberapa hal. Tetapi keputusan akhir akan menjadi milik Greg.”

Sebelum pengumuman tersebut dibuat pada hari Sabtu, Buffett hanya membincangkan keputusan ini dengan dua ahli lembaga Berkshire, yakni anak-anaknya iaitu Susie dan Howard. Justru, hal ini bermaksud Greg Abel sendiri belum dimaklumkan mengenai pelantikan ini.
Buffett juga menegaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk menjual sebarang saham miliknya dalam Berkshire Hathaway sebagai sebahagian daripada peralihan ini.
Buffett telah memegang jawatan CEO sejak tahun 1970. Nama syarikat itu diambil sempena kilang tekstil yang diperoleh oleh firma pelaburannya pada tahun 1965.
Sejak pengambilalihan oleh Buffett, nilai saham syarikat meningkat secara purata 19.9% setahun dan hampir dua kali ganda berbanding purata pulangan tahunan S&P 500 iaitu 10.4%. Pelaburan tersebut memberi pulangan sebanyak 5,502,284% kepada pemegang saham, bermakna pelaburan $10,000 pada tahun 1965 kini bernilai lebih $500 juta.
Buffett, bersama Greg Abel dan Ajit Jain, menjawab soalan selama lebih dua jam dalam AGM tersebut. Kemudian, hanya Abel yang terus bersama Buffett dalam sesi akhir selama dua jam yang berakhir sekitar jam 2:00 petang waktu Timur. Sesi tahun ini lebih ringkas berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Soalan pertama menyentuh isu perdagangan dalam konteks dasar tarif Presiden Trump. Jawab beliau;
“Kita seharusnya berdagang dengan dunia luar dan melakukan apa yang kita lakukan dengan terbaik, dan biar mereka lakukan apa sahaja yang terbaik,” kata Buffett, sambil menambah, “Perdagangan tidak sepatutnya dijadikan senjata.”
Dalam kenyataan lain, Buffett berkata kekacauan pasaran tahun ini “bukanlah sesuatu yang luar biasa,” sambil merujuk kepada beberapa insiden terdahulu di mana saham Berkshire jatuh sebanyak 50%.
Berkshire melaporkan keuntungan operasi suku pertama yang menurun sebanyak 14.1% tahun ke tahun kepada $9.64 bilion, sebahagian besarnya disebabkan oleh sektor insurans. Walau bagaimanapun, tunai syarikat meningkat ke paras rekod $347.7 bilion setakat 31 Mac.
Saham Berkshire menunjukkan prestasi cemerlang tahun ini, meningkat lebih 18% berbanding penurunan 3% bagi indeks S&P 500. Dalam suratnya kepada pemegang saham pada Februari lalu, Buffett menyatakan bahawa walaupun syarikat memegang jumlah tunai yang besar, “Sebahagian besar wang anda tetap dilaburkan dalam ekuiti. Dan keutamaan itu tidak akan berubah.”
Dalam mesyuarat Sabtu itu, Greg Abel turut berkongsi pandangannya mengenai prospek Berkshire, terutamanya berkaitan lebih $300 bilion tunai yang dimiliki syarikat.
“Jumlah tunai ini merupakan aset strategik yang sangat besar,” kata Abel. “Ia membolehkan kami menghadapi waktu sukar tanpa bergantung kepada mana-mana pihak lain. Kami akan kekal sebagai Berkshire dan tidak akan pernah bergantung kepada mana-mana bank atau entiti lain untuk terus berjaya.”

Sesungguhnya gandingan Buffet dan Munger bakal dirindui kerana ‘wisdom’ mereka sangat disukai setiap kali AGM Berkshire Hathaway.
Artikel ini dikongsikan oleh Faiz Azizan selaku penulis isu semasa di Facebook.