Dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar, banyak pemilik bisnes terpaksa menaikkan harga produk atau servis demi kelangsungan operasi seharian masing-masing.
Namun Warung Hasmida berusia lebih tiga dekad yang terletak di Jalan Lumba Kuda, Kuching kekal menjadi bualan ramai apabila masih teguh mempertahankan harga RM2 untuk semua juadah makanan dan RM1 untuk minuman!

Dipetik dari Berita Harian, menjadi satu legasi harga yang terus dipertahankan, seolah masa terhenti demi memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati hidangan tanpa perlu risau.
Menurut Mohd Firdaus Buang, 36, anak kepada pemilik Warung Hasmida, keputusan mengekalkan harga serendah itu dibuat atas dasar kesedaran dan keprihatinan mereka untuk membantu masyarakat berpendapatan rendah meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
Langkah ini jelas menunjukkan komitmen mereka dalam berbakti kepada komuniti.

Pada awal pembukaannya lebih tiga dekad lalu, Warung Hasmida sudah menarik perhatian dengan tawaran istimewa mi Jawa hanya 50 sen dan air sirap pada 20 sen sahaja!
Terletak berhampiran pejabat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), tidak hairanlah jika kebanyakan pelanggan setia mereka ketika itu adalah para pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mencari hidangan mampu milik dan lazat.
“Kedai kami memang menjadi tumpuan kerana harga yang ditawarkan memang teramat rendah iaitu hanya 70 sen jika makan sepinggan mi Jawa dan minum sirap.”

Selang beberapa tahun kemudian, satu cadangan menarik mula timbul dari mulut para pelanggan setia: menggenapkan harga makanan kepada RM1. Dan ya, ibu beliau setuju! Namun, bagi minuman, harga 20 sen tetap dipertahankan, seolah menjadi tanda tangan kemurahan Warung Hasmida.
“ Tetapi selang beberapa lama ada lagi pelanggan mencadangkan minuman dinaikkan kepada 50 sen supaya harga semua makanan dan minum genap RM1.50. Mereka kata harga barangan ketika itu sudah semakin naik menyebabkan kos barang keperluan untuk kedai makan juga naik.
Setia pada Prinsip Walau Didesak: Saban tahun, Warung Hasmida tidak henti-henti menerima cadangan daripada pelanggan setia mereka yang penuh prihatin. Ramai yang mencadangkan agar mereka menaikkan harga makanan dan minuman, bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana kasihan melihat kos operasi yang semakin meningkat tidak sepadan dengan harga jualan yang terlalu rendah.
Populariti Melonjak Selepas Tular: Baru-baru ini, keunikan Warung Hasmida menjadi bualan hangat dan tular di media sosial. Sejak itu, fenomena ini menarik lebih ramai pelanggan untuk singgah, termasuklah pelancong dari luar Sarawak, malah ada yang datang dari Kalimantan, Indonesia!
Ini membuktikan betapa Warung Hasmida bukan sahaja digemari penduduk tempatan, tetapi juga menjadi daya tarikan pelancong yang ingin merasai keunikan warung ‘legend’ ini.
“ Ada sekumpulan pelancong dari Semenanjung singgah dan mereka seolah-olah tidak percaya dengan harga yang kami tawarkan sehingga ada antara mereka meminta resit untuk dibawa balik dan ditunjukkan kepada kawan-kawan di sana.”