Sebuah syarikat Bumiputera, Wayout Solution Sdn Bhd telah menerima pengiktirafan anugerah Company of The Year – Integrated Technology Solutions pada Majlis Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia (APIUM) 2024.

Anugerah tersebut telah dianjurkan oleh Niaga Times pada 5 Jun bertempat di Berjaya Times Square Hotel. Difahamkan, Wayout Solution terpilih menerima pengiktirafan tersebut kerana kredibiliti syarikat itu dalam menawarkan perkhidmatan yang cemerlang terutamanya dalam sektor teknologi bersepadu.

Baca Juga:

Anugerah penuh berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Ramanan Ramakishnan kepada Pengarah Eksekutif Wayout Solution, Ts. Amir Junaidi Amerrudin.

Dalam satu ucapan, Ts. Amir Junaidi berkata, pengiktirafan luar biasa itu merupakan hasil usaha dan kerja keras seluruh kakitangan syarikat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap pelanggan.

Tambahnya, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan bermakna buatnya selama 11 tahun syarikat itu beroperasi. Bukan itu sahaja, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam perjalanan Wayout Solution sehingga mampu ke tahap tersebut.

“Pengiktirafan ini tidak akan membuatkan kami selesa, sebaliknya kami akan sentiasa meningkatkan komitmen serta menggandakan usaha agar mampu mencapai lebih banyak kejayaan di masa akan datang,” ujarnya lagi.

Selain Wayout Solution, pelbagai lagi anugerah turut disampaikan merangkumi 22 kategori pada majlis tersebut. Untuk pengetahuan anda, Anugerah Personaliti Industri & Usahawan Malaysia 2024 ini dianjurkan bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian usahawan-usahawan PKS serta menyuntik daya usaha syarikat tempatan yang lain bagi mencapai kecemerlangan.