Arsene Wenger memang dikenali sebagai idealis dan revolutionist dalam bola sepak. Bekas pengendali Arsenal itu kini akan memperkenalkan ideanya untuk prinsip ofsaid yang lebih berkesan.

Beliau ketika ini memegang jawatan sebagai Ketua Pembangunan  global di Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan dilaporkan meneruskan cadangan untuk mengubah peraturan ofsaid secara drastik.

Baca Juga:

Perubahan itu dibantu dengan beberapa keputusan ujian percubaan yang positif.

Beliau sebelum ini mencadangkan agar FIFA membuat perubahan besar dalam peraturan ofsaid untuk kurangkan kontroversi melibatkan mutu pengadilan dalam setiap perlawanan.

Peraturan ofsaid ketika ini menyatakan seseorang pemain berada dalam kedudukan ofsaid sekiranya sebahagian daripada badannya yang boleh menjaringkan gol berada di depan pertahanan terakhir ketika bola dimainkan.

Namun Wenger mencadangkan seseorang hanya akan berada dalam kedudukan ofsaid sekiranya seluruh badan pemain itu melebihi pertahanan terakhir.

Wenger Bakal Perkenalkan Peraturan Baharu Ofsaid
Harry Kane berada dalam kedudukan ONSIDE jika mengikut peraturan baharu FIFA (Image: BT Sport)

Jadi, jika tangan pemain berada di hadapan kedudukan kaki pemain pertahanan lawan, maka ianya tidak dikira ofsaid kerana tangan tidak boleh digunakan untuk menjaringkan gol.

Cadangan itu disokong Presiden FIFA, Gianni Infantino yang menyokong usaha membincangkan cara baharu mengenai peraturan ofsaid.

Usaha Wenger turut mendapat sokongan bekas naib pengerusi The Gunners dan FA Inggeris, David Dein, yang memberitahu peraturan semasa “terlalu dipersoalkan dan bermasalah.”

Beberapa ujian percubaan dilakukan di Sweden, Itali dan Belanda. Hasil ujian itu menyakinkan Wenger untuk menyarankan perubahan tersebut kepada badan penggubal undang-undang sukan, Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB).

Wenger dilaporkan berminat untuk menerima pakai undang-undang baharu itu secepat mungkin tetapi ia berkemungkinan menghadapi tekanan untuk diuji di peringkat lebih senior.