XPDC Kita Peng Yu sekali lagi bersuara mengkritik kehadiran band yang dianggap tiruan ini. Dan kali ini mereka lebih tegas melabel band ini sebagai sampah sarap yang tak layak berada dalam industri muzik.

Hal ini kerana menurut XPDC Kita Peng Yu, band tiruan ini bukan sahaja tiada sumbangan kepada industri seni hiburan malah merosakkan kualiti lagu menerusi kualiti persembahan mereka yang tidak mencapai standard.

Pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar, band tiruan yang menggunakan nama dan lagu XPDC ini adalah perompak. Mereka dianggap tak malu kerana masih berbuat begitu walaupun menerima banyak cemuhan daripada peminat.

Dipetik dari Awani, Zuar berkata: “Malah kita amat kesian dengan mereka ini yang ada masanya seperti pengemis yang mahukan perhatian orang ramai untuk meminati mereka. Sedangkan mereka terlupa bahawa kerja mereka tidak lain hanya mencuri nama dan lagu untuk mengaut keuntungan peribadi semata.”

Lantas Zuar mengibaratkan band tiruan ini seperti orang yang kurang kasih sayang dan menggunakan nama band lain untuk menarik perhatian umum.

“Ya lah, kalau guna nama sendiri mereka tak mampu menarik minat orang ramai, apatah lagi dengan keadaan bakat mereka yang mengundang kritikan semua pihak,” tambah Zuar.

Sebelum ini ada individu yang mendakwa dia adalah ‘Bapa XPDC. Zuar menganggap individu itu langsung tiada kaitan dengan XPDC.

Zuar mendedahkan bahawa individu tersebut langsung tidak tercatat dalam sejarah XPDC atau Life Record.

Pada satu ketika Zuar kesian melihat individu tersebut yang terus menuai kecaman peminat.

Pengurus XPDC Kita Peng Yu, Yazid Selamat berharap sampah sarap seperti ini tidak perlu ada dalam industri muzik tanah air kerana hanya merosakkan imej.

Yazid berkata: “Sampah sarap macam ni tak perlu sebenarnya di bawa ke dalam industri kerana ia hanya mendatangkan kerosakan imej muzik tanah air semata.

“Golongan sebegini pun sebenarnya nak cari keuntungan peribadi semata-mata, jauh sekali untuk menyumbang sesuatu yang baik kepada negara… sekadar publisiti murahan agaknya tu.”

Sebelum ini sudah ramai pihak menyuarakan kritikan ke atas band tiruan tersebut. Namun mereka masih mempertahankan tindakan mereka. Dan menganggap mereka berhak ke atas nama dan lagu XPDC.