Bermula dengan sekadar ura-ura, nampaknya keputusan YB Maszlee Malik untuk meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia adalah benar. Pengumuman ini dibuat sebentar sahaja tadi melalui sidang media yang dijalankan di Putrajaya pada jam 4.30 petang.
Berdasarkan laporan daripada Malay Mail, beliau telah menghantar surat perletakan jawatan kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tengah hari ini dan Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengesahkannya.
Untuk pengetahuan, YB Maszlee Malik dilantik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia pada 21 Mei 2018 sebelum mengumumkan perletakan jawatan pada 3 Januari 2019. Keputusan yang dibuat beliau sendiri ini telah menjadikan beliau sebagai antara menteri yang memegang portfolio ini dalam tempoh yang tersingkat.
Sebelum ini, YB Maszlee Malik berjaya menarik perhatian ramai dengan pengenalan kasut hitam buat pelajar sekolah, program sarapan percuma serta yang terbaru adalah penyediaan aplikasi buat para guru menukar sekolah secara suka sama suka. Tidak dilupakan juga, pengenalan pembelajaran tulisan Jawi yang menjadi isu besar sepanjang tahun lalu.
Perletakan jawatan beliau telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan netizen dan tidak kurang juga yang berspekulasi mengenai punca perletakan jawatan beliau.
Keputusan yang dibuat YB Maszlee Malik ini secara tidak langsung membuatkan tompok kepimpinan tertinggi dalam Kementerian Pendidikan Malaysia terbuka sekaligus menimbulkan tanda tanya individu manakah yang bakal memegang jawatan ini. Buat sementara waktu ini, jawatan ini bakal dipegang Perdana Menteri.
Ketahui lebih lanjut mengenai YB Maszlee Malik yang berjaya mendapat dana sebanyak RM1 bilion untuk baik pulih sekolah daif di Sarawak. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.
Bagaimana YB Maszlee Dapat Dana RM1 Bilion Untuk Baik Pulih Sekolah Daif Di Sarawak
KPM Perkenalkan Program Sarapan Percuma Buat Semua Pelajar Sekolah Rendah Bermula 2020