Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kebimbangan terhadap jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang tinggi dalam kalangan belia.

Zahid berkata keadaan ini memerlukan campur tangan segera dan bersepadu daripada kumpulan belia, kerajaan, dan sektor swasta, petik New Straits Times.

Baca Juga:

“Secara purata, 6,000 orang terkorban dalam kemalangan jalan raya setiap tahun. Sembilan puluh peratus daripada mangsa tersebut ialah golongan belia,” katanya ketika majlis penutupan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 baru-baru ini.

Zahid Hamidi gambarkan jumlah kematian belia sama seperti 6 padang bola sepak
Sama Macam 6 Padang Bola, Zahid Hamidi Bimbang Jumlah Kematian Golongan Belia Akibat Kemalangan Meningkat
Sumber Gambar: Instagram @bernamaofficial

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan, menggambarkan besarnya tragedi itu dengan perbandingan enam padang bola sepak yang dipenuhi kubur, setiap padang mewakili 1,000 nyawa yang terkorban.

“Kita mesti menghentikan perkara ini daripada berterusan kerana kita sedang kehilangan sebahagian penting tenaga kerja produktif negara. Ini mesti dihentikan,” tegasnya.

Beliau menggesa Majlis Belia Malaysia dan majlis belia peringkat negeri, termasuk di Wilayah Persekutuan supaya mengambil langkah proaktif.

Sama Macam 6 Padang Bola, Zahid Hamidi Bimbang Jumlah Kematian Golongan Belia Akibat Kemalangan Meningkat
Sumber Gambar: Facebook Zahid Hamidi

“Anjurkan kursus khas untuk penunggang motosikal muda yang merangkumi aspek keselamatan jalan raya dan penyelenggaraan motosikal,” katanya sambil menambah bahawa Majlis Amanah Rakyat (Mara) mempunyai keupayaan untuk menyokong usaha sedemikian.

“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh bertindak secara diam.

“Kita mesti bekerjasama dengan kementerian, jabatan, agensi, sektor swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan,” tambahnya.