Dalam masa kurang lima tahun, jenama kopi tempatan ZUS Coffee yang dimiliki oleh Zuspresso Sdn Bhd telah mencipta kejutan besar dalam industri F&B Malaysia – mengalahkan Starbucks dan muncul sebagai rangkaian kopi terbesar negara.
Menurut The Edge, tahun ini ZUS mengorak langkah lebih jauh dengan rancangan untuk membuka hampir 200 cawangan baharu di Asia Tenggara.
Mengikut kenyataan Ketua Pegawai Operasi, Venon Tian, ZUS akan:
- Tambah 107 kedai baharu di Malaysia
- Buka 80 kedai di Filipina
- Tambah 6 kedai di Singapura
- Masuk pasaran baharu: Thailand dan Indonesia
ZUS Coffee kini mengendalikan 743 kedai di Malaysia, meninggalkan Starbucks jauh di belakang dengan hanya 320 kedai.
Kemenangan ini turut didorong oleh boikot pengguna terhadap Starbucks, susulan kaitan syarikat itu dengan konflik di Gaza – yang telah menjejaskan pendapatan operator tempatan mereka, Berjaya Food Bhd.
ZUS Coffee tidak terhenti di situ, di Filipina, mereka kini mempunyai 120 cawangan, disokong pelaburan daripada jutawan terkenal Frank Lao.
Di Singapura, mereka sudah menapak dengan empat lokasi.
Di Brunei, ZUS menggunakan model francais untuk beroperasi.
Resipi Kejayaan ZUS Coffee: Kopi Tempatan, Citarasa Global
ZUS tidak hanya menjual kopi – mereka menjual pengalaman yang diadaptasi mengikut budaya tempatan.
Di Malaysia, ZUS menawarkan kopi dengan perisa gula Melaka, manakala di Filipina, mereka tampil dengan inovasi seperti kopi perisa ubi ungu (purple yam).
Pendekatan ini menjadikan jenama mereka lebih dekat di hati pelanggan.
Bermula Dari Kiosk, Kini Empayar Kopi Digital
Ditubuhkan lewat 2019 sebagai kiosk penghantaran kopi melalui aplikasi mudah alih sendiri, ZUS melonjak naik ketika pandemik.
Sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP), ramai bergantung pada penghantaran untuk keperluan harian – dan inilah masa ZUS benar-benar menyinar.
Kini, 70% daripada jualan ZUS datang dari atas talian, termasuk penghantaran dan pesanan untuk ambil sendiri (pickup).
Fokus pada teknologi dan strategi penjimatan kos untuk kedai fizikal membolehkan ZUS menjual kopi pada harga lebih 20% murah berbanding Starbucks, tanpa mengorbankan kualiti.