Malaysia menghadapi cabaran besar dalam mengekalkan bakat tempatan apabila dianggarkan seramai 1.86 juta rakyat Malaysia, termasuk mereka yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang, telah berhijrah ke luar negara demi peluang kerja yang lebih baik, lapor Sinar Harian.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, angka ini diperoleh daripada World Migration Report 2022 oleh International Organization for Migration (IOM).

Dalam kenyataan beliau di Dewan Rakyat baru-baru ini, Sim berkata, “Laporan IOM menunjukkan kadar migrasi global adalah 3.6 peratus, namun Malaysia mencatatkan kadar yang lebih tinggi iaitu 5.6 peratus daripada populasi keseluruhan, mewakili 1.86 juta orang.”

Data mengenai penghijrahan warga Malaysia dari 2018 hingga 2024 kini dalam proses pengumpulan secara terperinci bagi mendapatkan maklumat seperti kaum, negara destinasi, umur, serta sebab penghijrahan, menurut Sim.

Jawapan beliau adalah susulan soalan dari Chow Yu Hui (PH-Raub) yang mahukan penjelasan mengenai statistik ini.

Berdasarkan kajian TalentCorp dan Bank Dunia melalui laporan Malaysian Diaspora Heat Maps yang disiapkan pada April 2022, diaspora Malaysia berjumlah kira-kira 281,429 orang di empat negara utama: Australia (138,363 orang), Amerika Syarikat (79,827 orang), United Kingdom (37,549 orang) dan Kanada (25,690 orang).

Di Australia, majoriti bakat Malaysia ini berkelulusan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda, dan terlibat dalam sektor perkhidmatan profesional.

Di Amerika Syarikat, mereka bekerja dalam sektor pengurusan, perkhidmatan profesional, perniagaan, sains, dan seni.

Di United Kingdom, ramai bakat Malaysia yang terlibat dalam sektor pengurusan, perkhidmatan profesional, perubatan, dan hospitaliti, manakala di Kanada, ramai berkhidmat dalam bidang pengurusan, perkhidmatan profesional, sains, perubatan dan teknikal.

Untuk menarik kembali bakat tempatan yang berada di luar negara, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui TalentCorp telah melaksanakan beberapa inisiatif.

Salah satunya adalah Program Returning Expert Programme (REP) yang sejak 2011 hingga Jun 2024 telah menerima 11,124 permohonan dan berjaya membawa pulang 2,011 bakat ke tanah air.

Melalui REP, kerajaan menawarkan pelbagai insentif menarik seperti cukai pendapatan pada kadar istimewa 15 peratus, pengecualian cukai ke atas barangan peribadi, pengecualian duti eksais kenderaan sehingga RM100,000, serta kemudahan untuk memperoleh status pemastautin tetap (PR) bagi pasangan dan anak-anak.