Honestly siapa yang nak gemuk di dalam dunia ini? Hakikatnya, tubuh badan yang sihat dan memiliki bentuk dan berat badan yang ideal merupakan impian setiap insan.

Disebabkan itulah niche kurus atau produk/servis menurunkan berat badan sering menjadi perhatian mereka yang dikategorikan gemuk atau obese. Golongan ini sanggup berhabisan duit sehingga mencecah ribuan ringgit untuk mencapai impian kurus dan sihat.

Namun, adakah hanya mereka yang berduit sahaja boleh menurunkan berat badan?

Dengan tip-tip di bawah ini, anda tidak perlu lagi menggunakan cara yang mahal untuk kurus dan sihat. Malah, anda boleh berjimat selepas mengamalkannya.

Secara asas, penurunan berat badan dipengaruhi oleh makanan dan aktiviti seseorang.

Ini 10 cara murah untuk menurunkan berat badan anda:

Bahagian 1: Makanan

1. Makan di rumah.

Lebih banyak anda makan di luar, lebih banyak kalori yang akan anda ambil. Itulah hasil keputusan daripada 29 kajian yang turut menyatakan secara purata 35% kalori orang dewasa datangnya daripada makanan komersil.

Makan di rumah juga lebih jimat. Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), kos purata harga makanan di restoran ialah antara US$9 hingga US$11 tetapi kos purata makan di rumah ialah US$3.60.

Baca: 19 Petua Menurunkan Berat Badan Yang Benar-Benar Membantu Berasaskan Bukti Saintifik

2. Rancang masak di rumah.

Oleh itu anda digalakkan untuk merancang masakan di rumah bagi membuatkannya lebih menarik dan menyeronokkan sambil dapat mengawal jumlah kalori dan bajet makanan.

Berdasarkan satu kajian, merancang makanan untuk satu hari penuh sememangnya dapat membantu anda menurunkan berat badan. Makanan dipilih berdasarkan keperluan dan tujuan, bukan kerana selera semata-mata. Contohnya membeli makanan tinggi fiber dan masak dari asas akan membuatkan anda kenyang dan murah. Ia menjadi alternatif yang sihat untuk protein dan bijirin terproses.

Bila nak rancang? Rancanglah pada hujung minggu, rancang untuk 1 minggu dan cari resipi yang mudah dimasak dan rendah kos penyediaannya.

3. Makanan segar dan sihat itu mahal.

Memang benar makanan terproses, makanan dalam tin dan junk food lebih murah harganya berbanding makanan yang segar dan sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Jangan putus asa dan lemah semangat. Cari di internet tentang bagaimana untuk menyediakan makanan yang mudah, sihat dan murah. Kemudian perhatikan rak-rak promosi dan jualan murah. Disitu pilih apa yang anda perlukan. Jika tiada, fikirkan alternatif yang bersesuaian.

Daging atau sayur sejuk beku boleh dijadikan pilihan kerana harganya lebih murah. Menurut kajian pada tahun 2007 yang diterbitkan di dalam Journal Sains Makanan Dan Pertanian, walaupun ia kurang sedikit segar tetapi kandungan nilai nutrient hampir sama dengan produk segar.

4. Beli bahan mentah secara pukal.

Kos bahan mentah seperti tepung, beras dan pasta menjadi lebih murah apabila ia dibeli secara pukal atau dalam kuantiti yang banyak. Ia boleh menjadi satu cara yang baik untuk mengawal kos bajet makanan terutama untuk simpanan jangka panjang. Namun, bagi bahan basah yang mentah seperti daging, ikan, ayam dan sayuran beku, anda perlu pertimbangkan ruang dan kos penyimpanan.

Baca: Demi Keluarga, Lelaki Ini Sanggup Turunkan Berat Badan 125kg Dalam Masa 18 Bulan

5. Buat senarai belian.

Rambang mata apabila berdepan dengan rak-rak barang di pasar raya. Maka, amat penting untuk anda buat senarai belian dan mematuhi senarai tersebut.

Semasa di dalam pasar raya, langkahkan kaki terus ke bahagian makanan segar dan sejuk beku kerana di situ tawaran harga lebih rendah dan sesuai sebagai alternatif untuk makanan sihat. Jangan cuba melalui semua rak-rak tanpa ada tujuan. Bahaya!

Elakkan rak di bahagian tengah pasar raya yang kebiasaannya menjual makanan terproses dan makanan dalam tin yang lebih tinggi garam dan harga.

6. Lihat harga dan berat produk.

Apabila mencari produk makanan di rak-rak, pastikan anda lihat tanda harga dan berat produk.

Bagi mengetahui sama ada produk itu mahal atau murah, lakukan kiraan ini:

Harga produk/berat produk = kos harga/berat

Kemudian, bandingkanlah dengan produk yang sama tetapi lain jenama dengan cara yang sama. Anda akan tahu dengan lebih tepat yang manakah satu menawarkan harga yang terendah.

7. Elak makanan segera yang dilabelkan “sihat”.

Elakkannya bukan kerana tidak elok tetapi ia mahal dan tidak sesuai untuk mereka yang bajet ketat. Makanan segera seperti snek yang dilabelkan “sihat” ini dipek dengan jumlah kalori tertentu. Ia memang memudahkan pengambilan seharian, namun ia adalah satu pilihan yang mahal. Maka, digalakkan untuk anda mencipta pek snek sihat buatan sendiri seperti menggabungkan kismis, dan kekacangan.

Bahagian 2: Aktiviti

1. Jalan kaki atau berbasikal.

Sekiranya kedai atau tempat kerja anda hanya sejauh 1 hingga 5 kilometer dari rumah, cubalah berjalan kaki atau berbasikal. Setiap jarak perjalanan dengan cara berjalan kaki itu bernilai 100 hingga 200 kalori bergantung kepada jumlah berat anda dan berbasikal pula bernilai antara 50 hingga 120 kalori.

Dengan cara ini juga anda akan lebih jimat kos minyak sambil mengeluarkan peluh. Tetapi ramai orang mengeluh kerana katanya cuaca di Malaysia ini tidak sesuai kerana panas dan kekurangan fasiliti untuk pejalan kaki dan penunggang basikal.

Namun begitu, belum cuba belum tahu apakah hasil pengalamannya. Cubalah!

Baca: Tanpa Pil Kurus, Lelaki Ini Berjaya Hilang 40 Kilogram Dalam Masa 3 Bulan

2. Rumah jadi pusat gimnasium.

Bersenam tidak semestinya perlu menjadi ahli gimnasium. Masih ada pilihan yang lebih menjimatkan seperti pusat rekreasi dan pusat komuniti yang menyediakan peralatan kecergasan.

Sekiranya tiada di kawasan tempat tinggal atau kerja anda, rumah boleh dipertimbangkan untuk menjadi pusat gimnasium. Semuanya bergantung kepada anda untuk merealisasikannya.

Aktiviti yang boleh dibuat di rumah:

  • Berbasikal
  • Stepper
  • Senam aerobik
  • Yoga
  • Berlari setempat
  • Angkat berat
  • Pumping
  • Skipping
  • Streatching

3. Sertai aktiviti anjuran kerajaan atau organisasi bukan kerajaan.

Lakukan aktiviti senaman seorang diri itu agak membosankan. Nak pergi ke gimnasium, ada caj pula. Maka, aktiviti percuma yang dirancang oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan boleh menjadi alternatif. Disitu anda boleh mengenali orang yang sama lokaliti dan sama sasaran senam.

Dapatkan maklumat-maklumat daripada internet dan pusat komuniti setempat untuk tahu aktiviti-aktiviti seperti ini. Jika tiada di tempat anda, rancangkan satu aktiviti sebagai permulaan dan andalah pencetusnya.

Kesimpulan

Jika ada banyak wang, semuanya boleh jadi mengikut apa yang dimahukan. Tetapi itu tidak bermakna jika tiada wang, semua yang diimpikan lenyap begitu sahaja.

Cuba guna tip-tip yang telah dikongsikan di atas ini. Tidak kerap tetapi konsisten itu lebih bermakna. Tip-tip ini percuma tetapi ia memakan masa. Jadi, jangan cepat putus asa atau lemah semangat kerana sekiranya anda mengikuti program atau pengambilan produk kurus juga memerlukan masa untuk mencapai keberkesanannya.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram