Pernahkah saudara masuk ke bilik pensyarah hanya untuk ziarah dan bertanya khabar mereka selepas cuti panjang semester?
Pernahkah saudara menawarkan diri mengemas dan menyapu bilik mereka?
Kerja di atas bukanlah untuk mendapat lebih markah atau agenda tertentu. Mengapa mesti khidmat? Mereka adalah guru kita. Berapa banyak buku dan bahan bacaan mereka rangkumkan untuk memudahkan kita belajar.
Walau bagaimanapun, ada beberapa tips dan etika apabila kita mahu khidmat kepada guru kita terutama pensyarah:
1. Bina hubungan awal.
Taktiknya, ketuk pintu dan bertanya mereka sekarang sibuk atau tidak. Sekiranya ada tetamu, beritahu sebentar lagi akan datang lagi.
2. Beri soalan.
Untuk hubungan awal. Baca artikel jurnal atau tesis mereka. Cari persoalan yang mungkin boleh ditanya walaupun nampak macam soalan bodoh. Tetapi soalan yang bijak akan memberi persepsi yang sangat baik. Taktik ini memang mujarab membina persepsi baik pensyarah.
3. Tengok buku.
Apabila berada dalam bilik mereka. Rajin-rajinlah tengok buku di rak mereka seketika dan bertanya tentang buku itu seperti di mana mereka beli, apa kebaikannya.
Untuk dapatkan persepsi yang bertambah baik, pilih buku yang langka dan rare. Mereka tahu kita memang banyak membaca.
4. Apabila mereka bercakap dengar sahaja. Jangan menyampuk.
5. Sekali sekala, minta nasihat dari mereka.
6. Jangan terlalu kerap singgah di biliknya sehingga 4, 5 kali sehari.
7. Ajak makan.
Jangan ajak mereka makan di kafe. Takkan kita mahu belanja mereka walaupun kita ada duit. Malulah mereka pelajar belanja. Kecuali apabila mereka yang ajak makan. Apabila mereka ajak makan, itu antara tanda mereka selesa dengan kita.
8. Jangan ikut mereka.
Jangan mengekor mereka apabila berada di luar biliknya atau luar bilik kuliah. Mereka perlukan ruang untuk berfikir dan bersosial. Nanti mereka akan menyampah.
9. Gangguan.
Jangan ganggu waktu mereka makan di kafe atau di bilik mereka. Apabila di kafe dan kita mahu makan bersama mereka, jangan terus ke meja mereka.
Lalu dahulu di meja mereka seolah kita mahu ke meja lain. Kemudian tegur mereka macam biasa. Apabila mereka ajak makan sekali, barulah kita duduk di mejanya. Jika tidak ada, carilah meja lain.
10. Kepercayaan.
Apabila sudah rapat dan baik. Jangan sesekali, ya. Jangan sesekali tanya apa-apa berkaitan soalan peperiksaan atau tajuk yang masuk peperiksaan.
Ini paling kritikal. Walaupun kita sangat terdesak sekalipun, sekali kita tanya, ia akan membunuh kepercayaan pensyarah kepada kita.
Ini adalah tip dan etika berdasarkan pengalaman. Walaupun pensyarah itu hanya mengajar satu subjek sahaja. Mereka tetap guru kita.
Khidmat kepada guru amat besar hikmahnya. Nikmatnya tidak terhingga. Lebih lazat daripada mendapat markah yang tinggi. Ia kekal dalam hati, kekal dalam memori.