Aah, cepatnya masa berlalu. Tiba-tiba terkenang pula zaman persekolahan. Semua pastinya mempunyai kenangan terindah ketika di sekolah dahulu namun di sini saya nak gamit kembali kenangan sewaktu kita bersekolah dahulu. Disebabkan saya membesar di tahun 90an, jadi artikel ini lebih kepada pengalaman saya dan rakan-rakan sebaya semasa di bangku persekolahan dahulu.
1. Seludup komik keluaran Comics House ke sekolah
Rasanya zaman 90an dahulu, ini sajalah hiburan kita di masa itu. Kita mana ada smartphone untuk buka internet atau look around macam budak-budak Wicet sekarang. Dulu semasa cikgu mengajar di depan, kita duduk belakang baca komik Dragon Ball bawah laci meja kayu. Kemudian bila ada spot-check, komik kena rampas dan kita pun bersedih. Malangnya, Comics House telah pergi buat selamanya baru-baru ini.
2. Inovatif dan kreatif dalam mencipta sesuatu ketika bosan
Kita dahulu memang champion kalau bab membuang masa ini. Mana tidaknya, pemadam pun kita boleh jadikan permainan. Dahulu ingat lagi tak pemadam yang ada gambar bendera? Famous betul pemadam tu suatu ketika dahulu. Lepas tu rumput kemuncup yang tumbuh meliar pun kita boleh jadikan permainan. Pulas-pulas, siapa yang dapat tarik banyak dia menang.
3. Belajar cara buat ‘Origami’
Origami adalah seni melipat kertas. Jadi kita lipatlah kertas untuk jadikannya rocket, kapal terbang dan kapal. Kalau musim hujan best. Buat kapal dan lumba dengan kawan kapal siapa paling laju di dalam longkang. Siapa kalah, si kalah kena belanja air kepada si pemenang di kantin. Seronok betul. Itu belum lagi lipatkan kertas jadikan bentuk segi tiga. Yang itu pula boleh bermain rugbi, bola sepak dan golf. Haha. Kalau anda tak pernah main rugbi kertas, kena cuba.
4. Main bola ‘cop’ semasa waktu rehat
Ini real. Dalam satu kelas, mesti akan ada sorang yang akan bawa bola tennis datang sekolah. Lepas tu, waktu rehat selepas dah habis makan da nak tunggu waktu rehat tamat, main dulu bola ‘cop’! So bola tennis tadi tu anda baling je dekat rakan anda sampai kena. Kalau bola tu masuk longkang, habislah baju sekolah anda kena ‘cop’ dengan bola tennis tu nanti. Kadang ada member tak ada belas kasihan baling sekuat hati kena pula dekat muka. Menangis masuk ke kelas selepas masa rehat tamat.
5. Duduk sejam di atas lantai ketika perhimpunan
Ini paling real. Semalam ada tersebar berita yang ada ibu bapa yang kata guru besar tak prihatin sebab suruh anak dia duduk di atas lantai dan jalan tar. Itu pun dah kira budi bicara. Habis tu, nak duduk di mana lagi kan? Yang duduk di jalan tar itu, sebab lambat. Kalau kena berdiri lama-lama, lagi teruk rasanya. Semasa perhimpunan mingguan, memang menghadaplah setiap kata-kata dari guru. Paling real ketika ucapan guru besar. Bila beliau cakap ‘Saya tidak mahu berucap panjang’, itu mukadimah beliau sebenarnya sebelum membuat perbentangan yang akan mengambil masa yang lama. Kadang-kadang lebih sejam. Kematu habis bontot tahu?
6. Lompat pagar sekolah
Ini bukan acara lompat pagar. Ini acara balik dari sekolah sebelum tiba masanya. Alhamdulillah, saya dahulu pelajar skema, tidak pernah lompat pagar sepanjang bersekolah. Tetapi ada sekalilah lompat pagar. Itupun sebab ada budak mengamuk bawak parang dan round satu sekolah. Allahu, takut dia lain macam. Macam babak filem Friday The 13th pun ada. Jadi terpaksalah lompat kelas. Tetapi bagi rakan-rakan yang selalu lompat pagar, mereka hebat sebab pandai bajet timing untuk mereka keluar. Tengok-tengok dah hilang.
7. Kena rotan, berdiri atas kerusi dan ketuk-ketampi
Ini pun biasa dah kena. Bila lupa bawa buku, kena rotan tangan. Bila kerja tak siap, berdiri atas kerusi. Tak hafal doa, kena ketuk-ketampi. Settle. Salah sendiri memang merasalah semua ini. Kalau semua kerja siap on time, tak adanya kena denda semua-semua ini. Tetapi ada juga cikgu yang jenis main tampar kepala. Saya cukup tak suka kalau cikgu yang suka punish dengan cara tampar muka dan kepala ni.
8. Makan mee atau bihun dalam plastik
Ini saya selalu lihat budak kelas belakang buat. Sambil jalan sambil makan bihun dalam plastik. Nampak real dan dangerous betul. Makan begitu mungkin sebab tak sabar nak main bola cop agaknya. Saya tak makan begini sebab lebih suka makan duduk di atas meja di kantin.
9. Main tuju selipar
Ini permainan paling best dan biasanya dimainkan ketika tunggu ibu bapa sewaktu abis KoKo (kokurikulum). Perlukan 3 selipar untuk dirikan jadi 3 segi. Dan 1 satu lagi digunakan oleh pasukan lawan untuk jatuhkan segi tiga selipar tadi supaya tak ianya tak berdiri. Kadang ada member bawa selipar spare untuk saja-saja baling dekat pasukan lawan.
10. Hari kantin
Saya sangat suka hari kantin. Rasanya hari kantin sampai sekarang pun best. Semasa hari kantin inilah kita boleh beli barang tanpa guna duit. Semua kena beli guna kupon. Masa saya darjah 5, saya pergi ke hari kantin sekolah menengah dan itulah kali pertama saya berkecimpung dengan dunia bundle. Masa tu saya beli dua helai baju dengan kupon RM1.
Begitulah apa yang dilalui hampir semua pelajar tahun 90an. Ini apa yang saya sendiri lalui dan anda semestinya ada pengalaman versi anda sendiri. Apa yang saya dapat rumuskan di sini ialah setiap apa yang kita lalui di zaman sekolah memang akan menjadikan siapa diri kita ketika ini.
Boleh lihat perbezaan budak sekarang dengan kita dahulu. Budak-budak sekarang kena lebih adventurous dan jangan terlalu bergantung dengan teknologi. Anda bersetuju? Kongsikan pengalaman manis zaman persekolahan anda di ruangan komen. Kalau anda pelajar zaman 80an atau 70an pun boleh juga komen. Saya pun nak tahu sama ada berbeza atau sama aktiviti persekolahan kita merentasi masa.
BACA: 26 Perkara Teknologi Yang Hanya Budak-Budak 80-an Dan 90-an Fahami