Pada November hingga Disember 2016 saya berpeluang travel ke Turki buat kali ke 2 selama 3 minggu. Lokasi yang telah saya terokai kali ini adalah Trabzon di Wilayah Laut Hitam (Black Sea Region), Diyarbakir, Cappadocia dan Istanbul.
Untuk pengetahuan, saya juga pernah ke Turki pada tahun 2015, juga selama 3 minggu. Kiranya 2 tahun berturut-turut saya ke Turki dan travel di sana tanpa pemandu pelancong.
Sewaktu trip pertama di tahun 2015 saya telah ke Cappadocia, Pamukkale, Ephesus dan akhirnya di Istanbul. Dan jika anda perhatikan saya ulang pergi ke Cappadocia sebanyak 2 kali.
Bagi sesetengah orang mungkin tiada yang istimewa di Cappadocia. Hanya penuh dengan gua dan batu-batu berbentuk pelik. Tapi Cappadocia begitu istimewa di hati saya. Ia satu tempat yang memiliki alam semulajadi yang unik serta kaya dengan sejarah.
Kadang-kala terasa seperti saya berada di satu daerah yang misteri sewaktu di sini, sambil membayangkan bagaimana orang-orang di sini menjalani kehidupan seharian sewaktu tinggal di rumah gua mereka satu ketika dulu.
Bila ada kawan yang bertanya kenapa asik ulang travel ke Turki saja. Pergilah ke negara lain pula?
Terasa sukar untuk saya terangkan mengapa. Ada banyak sebab sebenarnya. Yang pasti saya rasa sangat diraikan sebagai tetamu di sini. Faktor makanan halal yang mudah diperolehi dan saiz negara Turki yang besar juga menjadi punca mengapa saya kembali travel ke sini.
Selain daripada itu, setiap kali ke sini terselit perasaan cemburu di hati. Cemburu dengan tinggalan sejarah mereka yang masih terjaga (dan setiap kali itulah jauh di sudut hati saya berdoa pihak berkuasa di negara kita turut mengambil inisiatif memelihara warisan sejarah kita), serta cemburu melihat betapa beruntungnya para pejuang dan tentera Sultan Al Fateh.
Tak terkira banyaknya pahala yang telah mereka kutip dan ia takkan pernah habis selagi rakyat Turki kekal dengan Islam. Bayangkan bagaimana rakyat di bawah Empayar Rom Timur (Byzantine) akhirnya beramai-ramai memeluk Islam, dan mewarisi agama ini daripada satu generasi ke satu generasi hasil perjuangan tentera di bawah pimpinan Sultan Muhammad Al Fateh. Ia perjuangan yang mana timbal balas pahalanya takkan pernah berkurang.
OK. Cukuplah saya terangkan beberapa sebab mengapa saya gemar ke Turki. Saya kongsikan di sini tips bagaimana anda juga boleh travel sendiri di Turki tanpa tour guide seperti mana yang telah saya lakukan.
Bebas visa bagi warga Malaysia
1. Rakyat Malaysia yang travel ke Turki kurang daripada 90 hari tidak dikenakan visa. Ini sudah cukup memudahkan kita untuk travel ke negara ini sehingga 3 bulan lamanya.
Budaya Orang Turki
2. Orang Turki peramah sebenarnya. Jangan segan lemparkan senyuman dan beri salam kepada mereka.
3. Memberi tips bukanlah amalan di Turki. Jika anda rasa host atau manager di hotel anda menginap telah memberikan layanan yang sangat baik, bersedia dari awal dengan barangan kraf atau makanan dari negara kita yang boleh dijadikan cenderahati dan tanda penghargaan kepada mereka.
4. Jangan bagi duit, nanti mereka rasa terhina pula. Paling mudah, beri saja duit RM1. Sambil tu boleh juga terangkan tentang makna setiap gambar yang ada pada duit tersebut.
5. Budaya tuan rumah di Turki belanja atau bayarkan bil makanan kita di restoran adalah amalan mereka. Jadi jangan terkejut jika tiba-tiba mereka bayarkan bil kita. Dan jangan cuba nak bayar bil mereka. Sama ada mereka terasa atau mereka akan marah nanti.
6. Mereka juga suka jamu tetamu dengan teh tak kira sama ada di rumah mahupun di pejabat, termasuk sewaktu beli tiket bas. Teh di sebut cay (chai) di Turki.
7. Cara nak panggil orang Turki dengan gaya berbudi bahasa dan mengikut budaya mereka adalah dengan sebut nama di ikuti sebutan ‘bhai’ di belakang. Contohnya Yusof Bhai, Ahmed bhai.
8. Bagi perempuan pula sebut nama dan diikuti kata nama Hanum di belakang. Contoh Fathimah Hanum, Ameenah Hanum. Lebih kurang macam budaya kita juga bila nak tunjuk hormat kepada orang, kita panggil abang atau akak di depan nama. Cuma mereka terbalik letak panggilan hormat di belakang.
9. Antara perkataan paling kerap diucap pada kita semasa di Turki adalah efendim (bermaksud tuan atau encik). Ia akan diucapkan oleh pelayan, penyambut tetamu, peniaga di kedai dan bazar, pemandu bas, driver teksi. Ia adalah panggilan tanda hormat kepada orang yang tidak dikenali.
10. Salah satu cara komunikasi berkesan dengan warga Turki adalah dengan menyentuh bahu atau mencuit lengan mereka. Mereka lebih mudah tersenyum dan melayan kita apabila disentuh. Tapi kenalah sesama jenis. Lelaki perempuan yang bukan mahram tentulah tak boleh.
11. Anda mungkin sedikit terkejut jika pertama kali ke Turki dan lihat wanita di sana merokok secara terbuka meski pun bertudung litup. Namun merokok di tempat awam tidak dibenarkan dan adalah satu kesalahan di Turki.
Tempat tak dibenarkan merokok adalah di lapangan terbang, stesen Metro dan tram, sekolah, universiti, panggung wayang dan teater, pejabat kerajaan, stadium, dalam bas, teksi, tram, metro, di pusat membeli belah dan bazar, restoran, bar dan café tertentu. Tapi banyak juga saya lihat orang merokok di luar pasar. Hurm.
12. Hafal beberapa perkataan dalam bahasa Turki supaya senang nak tegur orang-orang di sana terutama semasa sesat jalan atau nak tanya arah. Antara perkataan yang penting :
(i) Berikan salam. Ini sebagai mesej kita juga adalah muslim. Insya allah layanan mereka juga bertambah baik kepada kita.
(ii) Merhaba (hello)
(iii) Guneydin (selamat pagi)
(iv) Bazaar (pasar)
(iv) Indirim (diskaun) – bila nak tawar menawar inilah perkataan yang penting.
(iv) Tesekkurler – terima kasih.
Makanan
13. Meskipun air paip boleh dikira bersih untuk di minum, sebaiknya beli air mineral dalam botol. Tapi jika anda yakin, tiada masalah. Beberapa kali juga kami minum air di paip di Trabzon, Diyarbakir, Cappadocia dan di Istanbul.
14. Budaya di Turki adalah minum teh, bukan minum kopi. Jadi harga secawan kopi di Turki agak mahal berbanding secawan teh. Tapi jika anda penggemar kopi, apa salahnya cuba kopi Turki. Dia punya pekat memang tak jumpa kat tempat lain. Haha. Separuh cawan tu penuh dengan serdak kopi saja. Dah la cawannya kecil.
15. Setiap daerah mempunyai keistimewaan yang berbeza, termasuk makanan mereka. Jadi jika anda ada bajet lebih sedikit, luangkan masa untuk cuba makanan tempatan semasa di Turki.
16. Antaranya kebab dalam tempayan merupakan keistimewaan di Cappadocia dan Lahmachun di Diyarbakir.
17. Saiz hidangan di Turki adalah banyak bagi kita orang Asia. Jika anda masuk ke restoran, pesan 1 hidangan dan boleh berkongsi 2 orang.
18. Selain daripada itu, di kebanyakan restoran di Turki turut menghidangkan salad sebagai hidangan sampingan secara percuma.
19. Paling saya ingat sewaktu di Diyarbakir. Kami dibawa masuk ke restoran yang kelihatan mahal oleh rakan kami di sana. Anak lelaki saya sudah merungut – mak, mesti mahal ni mak. Kenapa dia bawa kita masuk restoran ni.
20. Tak lama selepas duduk kami dihidangkan air mineral dan 3 jenis salad. Makan salad pun dah mula kenyang. Bagaimana nak makan makanan yang ditempah. Nasib lah kami order 2 hidangan saja dan kongsi. Jumlah bayaran pula berapa? Hanya 10 Lira seorang termasuk airan (susu masam).
21. Hanya pesanan saya, jika mahu masuk ke restoran, masuklah ke restoran yang ada tanda harga di menu mereka. Baru tak kena ‘sembelih’ dan kita pun boleh agak berapa harga makanan yang bakal dibayar.
22. Bawalah sos cili yang dah dipeketkan kecil-kecil. Di Turki mereka hanya ada sos tomato. Makanan Turki memang banyak yang sedap tapi jika nak betul-betul ‘layan’, lidah Melayu seperti kita memang perlukan sos cili terutama bila makan kebab.
Membeli belah
23. Tawar menawar harga adalah budaya di Turki. Jadi jangan malu nak tawar harga barang sewaktu membeli belah di negara ini. Sebut saja indirim (bermaksud diskaun) sambil lemparkan senyuman. Cuma jika beli barang harga 1 Lira tu jangan lah sibuk nak tawar harga juga. Haha!
24. Cenderahati (souvenir) berbeza di setiap daerah. Apa yang ada di Cappadocia tak akan ditemui di Istanbul, Pamukkale, Ephesus, Trabzon dan di daerah lain. Jadi jika anda sukakan sesuatu souvenir di satu-satu lokasi, beli terus. Jangan ingat nak beli kat Istanbul. Kempunan nanti.
25. Orang Turki juga percaya dengan rezeki yang dibawa oleh pelanggan pertama bakal membawa rezeki yang lebih baik untuk mereka di hari tersebut. Jika di Kelantan di panggil ‘pecah guri’. Jadi jika nak membeli-belah, pergilah di sebelah pagi. Senang nak dapat harga yang lebih murah.
Membeli belah di Istanbul
26. Grand Bazar sering menjadi tumpuan pelancong yang datang dengan pakej pelancongan dan tour guide. Elakkan membeli-belah di sini kerana harganya lebih mahal.
27. Pilihan alternatif adalah di Spice Bazar dan kedai-kedai di luar dan agak jauh sedikit daripada Grand Bazar. Jika di Spice Bazar pula, pusing dan survey harga dulu sebelum beli.
Sistem jalanraya dan memandu di Turki
28. Berhati-hati semasa melintas jalan. Pastikan selamat baru melintas. Orang Turki agak gila dalam bab patuh kepada peraturan jalan raya. Lampu merah pun adakala selamba saja mereka langgar.
29. Lesen memandu Malaysia (yang baru dan bentuk macam IC) sah digunakan di Turki. Tak perlu lesen memandu antarabangsa.
30. Sistem memandu di Turki sama seperti di Eropah, iaitu memandu dengan gear kanan. Jika anda bakal memandu dengan gear kanan seperti ini buat pertama kali seperti saya, cuba bawa kereta ke luar bandar dan pandu di lokasi yang kurang sibuk.
31. Juga, jika anda travel ke sini bersama rakan, minta mereka ingatkan anda jika anda terlupa arah pemanduan. Maklumlah dah terbiasa dengan sistem di Malaysia, adakala kita boleh terlupa terutama bila teruja dengan keindahan alam di sepanjang jalan.
32. Sentiasa berwaspada. Pengalaman saya sewaktu memandu di Trabzon, ada ketika kereta kita dah dekat pun mereka boleh lagi keluar dari simpang dan menyelit di depan. Jadi, perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada.
33. Jika anda bercadang untuk sewa kereta dan pandu sendiri sewaktu travel di Turki, buatlah tempahan online. Bukan saja anda boleh survey harga tapi juga menjimatkan masa. Malahan daripada pemerhatian saya, tempahan online lebih murah terutama di waktu low season.
34. Ditambah kita mempunyai lebih pilihan untuk jenis kereta yang diinginkan. Selain daripada itu, bagi sewa kereta di Cappadocia, saya boleh pilih untuk meminta syarikat kereta sewa menghantar dan ambil kereta di hotel.
35. Ini sudah tentu memudahkan saya kerana syarikat tersebut terletak di luar Goreme (lokasi agak di luar daripada tumpuan pelancong, sekaligus caj sewaannya lebih murah).
36. Pada tahun 2015 saya telah buat kesilapan dengan tidak membuat tempahan sewaan online. Ternyata pilihan kereta agak terhad dan kadar sewaannya lebih mahal.
37. Tempahan online juga perlu dibuat paling lewat 1 ke 2 minggu sebelum tarikh sewaan (ini di Cappadocia). Di daerah lain saya tidak pasti bagaimana syaratnya. Mungkin sama, mungkin berbeza.
38. Bayaran untuk sewaan pula boleh dibuat dengan kad kredit. Biasanya deposit sebagai jaminan turut dicaj ke kad kredit dan dipulangkan kembali selepas beberapa minggu.
39. Jika sesat, usah segan bertanya. Memang akan ada masalah bahasa. Tapi selalunya mereka akan cuba sedaya upaya membantu. Hingga di satu ketika, disebabkan tak faham apa yang diterangkan, mereka hantar saya terus ke tempat dituju. Mungkin kerana lokasinya yang agak dekat. Tapi ia tetap satu peristiwa yang manis untuk dikenang.
40. Pamplet dan brochure untuk tempat-tempat menarik di Turki boleh di dapati di pusat informasi (information centre) di lapangan terbang Attaturk. Boleh ambil dan pilih ikut lokasi mana yang kita nak pergi.
41. Malahan di sesetengah kedai menjual kad dan cenderamata turut menyediakan buku panduan tentang Istanbul. Saya diberikan sebuah buku semasa membeli poskad di Istanbul. Bila dibelek, informasi di dalamnya sangat lengkap dan boleh dijadikan panduan. Bukunya pun agak tebal.
42. Mungkin ramai yang belum tahu. Salah satu cara untuk mendapatkan tour guide percuma adalah di Couchsurfing.com. Jika anda bernasib baik, ada yang menawarkan ‘free walking tour’ di sekitar bandar yang mereka tinggal.
43. Jika tiada tawaran begini, anda boleh hubungi mereka yang tinggal di lokasi yang bakal anda lawati di Turki, kenalkan diri dan tanya jika mereka sudi bertemu dengan anda.
44. Tak salah mencuba sebab saya sendiri sudah pun lakukannya sewaktu di Trabzon. Bukan hanya dapat tour guide percuma, kita juga dapat kawan baru sambil bertukar info, budaya dan bahasa secara terus dengan mereka yang tinggal di sini. Couchsurfing tak semestinya kena tinggal di rumah host.
45. Sebagai seorang yang lebih gemar travel sendiri tanpa tour guide, buku juga menjadi rujukan saya selain daripada informasi yang terdapat di internet dan di dalam aplikasi Wikitravel dan WikiVoyage yang telah saya muat turun.
46. Sewaktu di Diyarbakir saya pernah pinjam guidebook daripada hotel. Buku ini saya bawa ke mana saja saya pergi sewaktu di sini. Bila nampak masjid saya akan terus buka guidebook, cari nama masjid dan baca. Dengan cara ini lebih mudah untuk saya tahu dan faham sejarah masjid tersebut.
47. Begitu juga sewaktu di Ephesus. Saya pinjam buku daripada host sewaktu menginap di sebuah rumah di sana.
48. Selain daripada itu, jika anda ternampak guidebook yang dijual, boleh juga beli selepas belek dan berpuas hati dengan isi kandungannya.
Wifi dan internet
49. Internet kini sesuatu yang penting bagi traveller terutama bila kita travel sendiri tanpa pemandu pelancong. Tapi di Turki nak dapatkan prepaid atau sim kad agak mahal dan tak berbaloi jika kita travel dalam tempoh yang sekejap.
50. Jika nak harapkan wifi di hotel boleh saja. Tapi adakala sambungan internet di hotel pun boleh tahan menyeksa jiwa. Apatah lagi bila kita sentiasa on the go, perlukan Waze dan Google Maps sebagai penunjuk arah, internet memang perlu sentiasa ada.
51. Salah satu caranya adalah dengan menyewa data / pelan internet di Turki. Saya buat sewaan ini di Rent ‘n Connect. Sewaan begini berbaloi jika anda travel 1 minggu atau lebih.
52. Melalui Rent ‘n Connect, harga sewaan ialah Euro 5.99 sehari. Jika sewaan lebih daripada seminggu, secara automatik anda layak menerima diskaun 30% daripada harga asal.
53. Namun melalui carian di internet, saya berjaya dapatkan kod diskaun tambahan sebanyak 10% lagi. Bermakna saya dapat 40% diskaun untuk sewaan data daripada website ini. Kod yang saya gunakan adalah TP2014NS.
Nota: Kod diskaun ini masih sah sewaktu artikel ini ditulis (9 Jan 2017).
54. Jadi caj sewaan data saya adalah lebih kurang RM23 sehari, tanpa had (unlimited). Lebih murah daripada caj international data plan daripada Malaysia iaitu RM38 sehari. (EXCHANGE RATE yang saya gunakan : 1 Euro = RM5 pada Dis 2016).
55. Rent ‘n Connect menawarkan 2 pakej sewaan iaitu:
(i) Sewaan wifi tanpa had + 4G portable TP link (modem bersaiz kecil)
(ii) Sewaan wifi tanpa had + 4G tablet. Sewaan tablet ini turut datang bersama digital guide for Istanbul dan travel apps yang telah dimuat turun ke dalam tablet oleh pihak Rent & Connect.
56. Harga bagi 2 jenis sewaan di atas adalah sama. Hanya alat saj berbeza. Dan ia boleh dikongsi bersama sehingga 10 device. Bermakna jika travel dalam kumpulan, anda boleh berkongsi talian wifi yang sama sehingga 10 device. Harga sewaan pun boleh kongsi bayar bersama. Memang jimat banyak!
57. Bagaimana pula dari segi penghantaran? Usah risau. Mereka hantar ke seluruh Turki sama ada melalui pos atau wakil mereka.
58. Sebagai contoh sewaktu saya ke Trabzon yang merupakan destinasi pertama, sebaik saja tiba di sana wifi saya sudah sedia menanti di meja penyambut tetamu hotel.
59. Yang penting anda berikan alamat hotel yang akan dijadikan alamat penghantaran oleh pihak Rent n Connect sewaktu membuat tempahan.
60. Begitu juga untuk pemulangan. Bersama bungkusan yang anda terima, turut disertakan sampul untuk pemulangan device yang telah disewa. Hanya perlu masukkan tablet / moden ke dalam sampul dan berikan kepada pihak hotel di hari terakhir anda di Turki.
61. Bagaimana pula dari segi kelajuan wifi? Sangat laju di bandar. Tapi jika di dalam hotel gua (semasa di Cappadocia) dan sewaktu cuaca sangat sejuk (bawah paras beku), wifi pun jadi semput dan saya perlu duduk di luar hotel untuk dapatkan line yang stabil.
Tapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan kelajuan wifi daripada Rent ‘n Connect ini.
Aplikasi penting
62. Berikut senarai aplikasi penting yang menjadi rujukan saya sewaktu travel ke Turki
(i) WikiVoyage.com. Ia sering jadi rujukan saya terutama info sepintas lalu tentang lokasi yang dilawati. Boleh muat turun ke telefon pintar dan gunakan offline.
(ii) Google maps – inilah yang saya gunakan sebagai penunjuk arah sewaktu memandu di Turki dan bila meneroka lokasi menarik di sekitar hotel.
Boleh juga digunakan offline jika anda tiada wifi. Yang penting muat turun siap-siap lokasi yang ingin anda pergi sebelum terbang ke Turki.
(iii) Google Translate – jika tak ada yang ini memang huru hara hidup jadinya. Silap gaya kena lukis di atas sekeping kertas.
Bayangkan sewaktu di Diyarbakir, daripada pakcik yang menjual di tepi jalan, nak beli tiket bas, hinggalah ke manager hotel semuanya tak boleh berbahasa Inggeris.
Bila ada soalan nak tanya, saya akan taip di Google Translate pada smartphone saya. Kejap lagi manager hotel taip jawapan di smartphone dia pula. Akhirnya kami ketawa bersama kerana situasi ini.
Masalah bahasa
63. Jika anda bercadang ke lokasi pelancongan popular seperti Istanbul, Cappadocia, Pamukkale dan Ephesus, masalah bahasa tidak terlalu ketara kerana masih ada yang boleh berbahasa Inggeris.
64. Tetapi jika ke Diyarbakir, masalah komuniksi memang sangat ketara bukan saja sewaktu proses jual beli, tetapi juga dengan pengurusan hotel. Tapi usah risau. Gunakan Google Translate.
65. Mungkin terjemahannya agak tunggang langgang tapi sekurang-kurangnya masih boleh difahami. Atau jika susah sangat, cakap Melayu saja terus.
Walaupun bahasa ayam itik, tetap berjaya beli barang. Ini antara contoh bagaimana saya berkomunikasi sewaktu membeli jagung rebus di Dyarbakir. Tak susah pun sebenarnya. Haha.
Kenali scam dan penipuan di Turki
66. Jangan sekali-kali beri duit kepada mana-mana peminta sedekah terutama kanak-kanak yang datang kepada kita. Ia bakal mengundang masalah.
67. Menurut kenalan saya di Diyarbakir, pelancong asing umpama ‘bank bergerak’ bagi golongan ini. Cukup dengan hanya berikan kepada seorang saja, yang lain entah dari mana akan datang menyerbu kita.ĵ
68. Tapi jika anda lihat ada penduduk tempatan berikan sedekah di lokasi yang agak tersorok, mungkin anda boleh juga turut berikan. Saya lalui pengalaman ini sewaktu di Istanbul pada tahun 2015 bila nampak seorang warga tempatan berikan duit kepada seorang pakcik tua yang berdiri di bawah jambatan.
69. Bila lalu di tempat yang sama, saya hulurkan beberapa Lira. Ironinya, pakcik ini terus senyum sambil usap kepala anak saya. Mungkin berdoa barangkali.
70. Sewaktu di Diyarbakir pula, saya lihat seorang kanak-kanak dalam keadaan comot sewaktu nak beli jagung rebus (ada dalam video beli jagung di atas). Maka senyap-senyap saya hulurkan sekeping 1 Lira. Laju pula tangan dia mencapai duit saya dan masukkan ke dalam poket.
71. Cara lain, jika anda ke lokasi menarik tetapi jauh dan sewaktu nak tinggalkan tempat tu ada gadis kecil menunggu di pintu keluar dengan memegang kalungan bunga, maknanya mereka sedang menunggu anda.
72. Menurut kawan Turki saya, gadis kecil ni terus buat kalungan bunga sebaik saja nampak kami tiba di situ dan tunggu hingga kami selesai melawat. Dan ye, menurut kawan saya mereka ini daripada keluarga miskin yang tinggal di kampung di situ.
73. Buat kajian, bacaan dan kenali jenis-jenis scam yang pernah berlaku di Istanbul. Meskipun kebanyakan kisah seperti ini hanya berlegar di Istanbul, tidak mustahil ia juga berlaku di daerah lain. Jadi sentiasalah berwaspada.
Baca 11 Perkara Ini Tak Boleh Anda Lakukan Bila Travel Di Turki
Sebahagian daripada (kota lama) Dara Necropolis, di Diyarbakir. Dara merupakan wilayah paling utara di era Mesopotamia.
Tukaran wang – Euro atau Lira
74. Tak perlu tukar duit Turkish Lira dan Euro yang banyak di Malaysia. Hanya tukar untuk back up bayar teksi atau bas sebaik saja anda tiba di Turki. Yang penting aktifkan pengeluaran antarabangsa bagi kad kredit dan kad ATM anda. Kadar tukarannya lebih murah bila keluarkan duit di mesin ATM di Turki.
75. Sekarang nak aktifkan kad untuk pengeluaran antarabangsa dah mudah. Bagi pemegang kad debit Maybank hanya perlu buat online via M2U. Bagi kad kredit pula, boleh hubungi customer service bank terlibat untuk pengaktifan.
Caj setiap kali keluarkan duit di luar negara adalah sekitar RM65.
76. Saya tidak pasti dengan orang lain, tapi sepanjang di Turki saya lebih banyak gunakan matawang Lira berbanding Euro. Matawang Euro hanya digunakan untuk bayar aktiviti tertentu seperti naik belon panas. Malahan jika nak bayar dalam matawang Lira pun tiada masalah.
Info lain yang penting
77. Melawat Turki di waktu ‘low season’ juga ada banyak kelebihannya. ‘Low season’ di Turki biasanya di musim sejuk bermula daripada bulan Disember hingga Februari.
78. Di waktu ini harga hotel lebih rendah berbanding di musim lain. Begitu juga dengan sewa kereta dan caj beberapa aktiviti. Sebagai contoh, bayaran naik belon panas di Cappadocia boleh didapati dari serendah EUR65.
79. Untuk bakul seramai 16 orang pula hanya serendah EUR85 seorang berbanding EUR120 seorang untuk ride yang sama di musim lain. Banyak bezanya kan? A hot air balloon ride during winter. Cheap and sounds cool (and cold). Why not?
80. Namun begitu, travel di musim sejuk juga ada kekurangannya. Waktu siang lebih singkat. Jam 5 petang sudah gelap gelita. Jadi anda harus bersedia dengan kekurangan ini.
81. Jika anda peminat sejarah dan bercadang nak masuk banyak muzium di Istanbul, belilah Muzium Pass. Pass seperti ini ada dijual di depan muzium. Antaranya depan Hagia Sophia.
Bukan hanya jimat dari segi bayaran masuk, tapi jimat masa juga. Tak perlu beratur untuk beli tiket lagi. Tapi jika anda hanya nak masuk ke satu atau 2 muzium sahaja, tak perlu lah beli pass ini.
82. Bosphorus Tour. Beli saja pakej tour selat Bosphorus di Eminonu, jangan beli melalui ejen atau pakej dari hotel. Ada banyak pakej ditawarkan di Eminonu dan pilihlah pakej yang anda mahu.
83. Mudah saja nak cari tour dengan harga murah ini. Ada orang yang akan datang kepada anda sambil menyebut Bosphorus Tour bila anda berlegar di sekitar pelabuhan Eminonu. Bukan susah pun untuk mereka tahu kita adalah pelancong asing.
84. Atau lihat saja di sekitar Eminonu. Ada saja mereka sangkut kain rentang atau kertas kotak yang ditulis besar-besar “Bosphorus Tour TL15” dan disangkut di pagar. Hanya perlu pergi dekat dengan signboard tersebut. Nanti ada yang akan tegur anda.
85. Pakej semurah TL15 seorang ini adalah untuk trip selama 2 jam tanpa makan. Kalau takut lapar, beli lah roti keras simit sebelum naik kapal. Selain daripada untuk makan sendiri, boleh juga bagi makan kat burung.
86. Istanbul Kart adalah kad yang digunakan untuk naik tram, feri dan kenderaan awam di Istanbul. Harga yang dikenakan juga lebih murah dengan adanya kad ini. Jadi belilah kad ini jika nak jimat.
87. Kanak-kanak bawah 12 tahun tak perlu bayar tambang naik tram, feri dan bas di Istanbul. Tapi jangan pelik bila sewaktu dalam tram ada kakak atau makcik Turki selamba saja menyelit duduk di kerusi anak anda sambil tersenyum. Itulah yang selalu terjadi kepada anak saya. Sudahnya saya riba saja anak saya, atau kami berkongsi satu kerusi berdua.
88. Jika anda ke Istanbul, cubalah luangkan masa paling kurang sehari untuk melawat Istanbul Asia. Lokasi paling best adalah di Kadikoy. Untuk ke sini anda boleh ambil tram dari Sultan Ahmet ke Eminonu.
89. Setibanya di Eminonu anda perlu naik feri ke pelabuhan Kadikoy. Dan daripada pelabuhan anda hanya perlu jalan kaki ke pasar Kadikoy. Di sini dapat dirasakan kehidupan penduduk Istanbul lebih relaks dan tenang berbanding Istanbul Eropah. Harga makanan di sini juga lebih murah berbanding di bahagian Eropah.
90. Dan jangan lupa beli roti keras simit, bawa naik ke atas feri. Di sini anda berpeluang berikan roti kepada burung yang akan terbang mengikut feri yang anda naiki. Bukan hanya sekadar bersedekah kepada haiwan, anda juga akan turut rasai satu pengalaman yang menarik sepanjang di dalam feri.
91. Oh ya, jika anda tak pasti nak beli tiket tram dan tiket feri di mana, atau bagaimana, tanya saja kepada polis atau pengawal yang bertugas. Di Istanbul selalunya mereka ini akan cuba bantu kita hingga selesai. Begitu juga jika sesat jalan, carilah polis yang bertugas di sekitar. Insya allah mereka akan bantu.
92. Tapi jika tiada polis di sekitar anda, cuba lah tanya kepada sesiapa yang berada di situ. Perhatikan di sekeliling anda dan ikut gerak hati. Saya pernah bertanya arah kepada seorang lelaki yang sedang menyapu di tepi jalan, dan beliau berusaha tunjukkan arah sehingga kami faham.
Eh Google Maps kan ada. Ye betul. Tapi adakala saya inginkan human touch sebegini sebagai antara perkara manis untuk dikenang. Atau bagi anda yang tiada hubungan internet, bertanya arah kepada orang tempatan adalah cara termudah.
93. Nak masuk ke tandas awam dan tandas masjid di Istanbul kena bayar. Tapi jika di luar Istanbul, kebanyakan masjid tidak kenakan bayaran masuk ke tandas kecuali di lokasi popular. Biasanya kena bayar TL1 untuk seorang.
Jika nak jimat, cari restoran mewah di sekitar lokasi anda. Masuk ke tandas adalah percuma di sini.
94. Terdapat 2 lapangan terbang antarabangsa di Istanbul: Attaturk International Airport yang terletak di Istanbul Eropah, dan Sabiha International Airport di Istanbul Asia.
95. Lapangan Terbang Antarabangsa Attaturk lebih besar dan sibuk, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha lebih kecil dan kurang sibuk. Jika anda nak mudah bergerak dan tak nak pening, bagi saya Sabiha lebih mudah.
96. Di Sabiha Airport, nak guna trolley kena bayar TL3. Seingat saya di Attaturk Airport tiada bayaran dikenakan jika nak guna trolley airport. Tapi sebaiknya anda semak dulu sebelum ambil trolley di sana.
97. Istanbul adalah sebuah bandar yang besar dan sibuk. Secara tidak langsung penduduknya juga lebih terdedah kepada tekanan hidup seharian.
98. Jika anda telah ke Istanbul dan merasakan Turki bukanlah negara yang penduduknya ramah, cubalah ke daerah-daerah lain di luar daripada Istanbul dan rasai perbezaannya.
Inilah yang telah saya rasai. Penduduk Turki yang bukan saja ramah, tapi sanggup menolong meskipun terdapat halangan bahasa. Banyak kali juga saya menerima makanan percuma terutama bila berkunjung ke pasar minggu di luar bandar.
99. Jika anda rasakan masih tak berjumpa dengan rakyat Turki yang ramah, singgah saja ke masjid terutama di kawasan luar bandar. Insya Allah di sini anda akan dapat temui dan rasai ‘the real Turkish hospitality‘.
100. Pengangkutan bas dan jaringan pengangkutan awam antara bandar di Turki boleh dikatakan sangat baik. Nak beli tiket bas juga mudah dan tak perlu buat tempahan online.
Dan yang best di dalam bas siap ada pelayan yang berikan air dan biskut sambil tolak troli. Macam ala-ala naik kapal terbang pula. Kompleks dan stesen bas utama juga besar dan moden.
101. Bagi penerbangan domestik antara bandar di Turki, antara syarikat penerbangan yang terdapat di Turki adalah Turkish Airlines, Pegasus, SunExpress, Onur Air dan AtlasJet.
Sebelum buat tempahan tiket penerbangan, survey dan monitor harga dulu paling kurang 2 ke 3 bulan lebih awal daripada tarikh trip anda bermula.
Hotel di Turki
102. Suka saya nak cadangkan hotel berikut jika anda bakal travel ke Turki:
Diyarbakir:
Koprucu Hotel. Hotel ini terletak di dalam bandar lama (old town) Diyarbakir. Kiranya jika anda menginap di sini anda berada di dalam kota lama yang dikelilingi city wall yang pernah menjadi kubu pertahanan di daerah ini.
Pakej menginap dan sarapan percuma. Dan kami dibenarkan menginap hingga malam pada hari terakhir kerana bas kami ke Cappadocia bergerak malam. Tiada caj tambahan dikenakan kepada kami kerana overstay. Layanan pekerja hotel juga baik meskipun ada masalah komunikasi.
Lokasi bersejarah termasuk pasar, caravanserai, muzium, kedai dan bank juga dekat dari hotel ini. Hanya perlu jalan kaki. Paling menarik, hotel ini terletak di depan sebuah masjid.
Trabzon:
Hotel Efe. Terletak di tengah bandar Trabzon, di bahagian belakang hotel adalah pasar. Juga tak jauh dari hotel adalah Laut Hitam (Black Sea) dan sebahagian daripada City Wall.
Kedai runcit, pasaraya, kedai makan, lokasi bersejarah seperti masjid, caravanserai dan muzeum boleh anda lawati dengan hanya berjalan kaki. Masalah bahasa tidak begitu ketara di sini berbanding Diyarbakir. Oh ya, disebabkan low season, pemilik hotel bagi kami bilik tambahan percuma untuk letak barang.
Cappadocia
(i) Sunset Cave Hotel. Terletak di bandar Goreme. Mudah nak ke Open Air Muzeum, dan dekat dengan panoramic view point.
Malahan di satu ketika kami sebenarnya berdiri di atas hotel ini sewaktu berada di ponoramic view point. Nak turun ke bawah (pusat bandar Goreme) juga dekat. Tiada masalah komunikasi dengan pemilik hotel yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
Disebabkan kami datang dalam tempoh low season, pemilik hotel berikan bilik tambahan percuma kepada kami. Padahal bilik sedia ada dah cukup besar, bilik air pun luas dan siap ada buth tub.
(ii) View Cave Hotel. Terletak di bandar Goreme. Apa yang saya gemar tentang hotel ini adalah sarapan buffetnya yang banyak pilihan dan banyak. Hotel juga selesa dan dekat dengan Goreme Open Air Muzeum. Tiada masalah komunikasi dengan pemilik hotel. Bilik air dia tak besar sangat. Tapi ok lah.
Pamukkale
Ozbay Hotel. Lokasinya sangat dekat dengan tarikan utama di sini iaitu Cotton Castle (travetines). Hanya perlu jalan kaki dari hotel, dan perlahan-lahan mendaki ke atas mengikut laluan yang disediakan. Kedai runcit dan restoran juga tak jauh dari hotel. Anda hanya perlu berikan sedikit masa untuk meneroka di sekitar hotel.
Ephesus
Ephesus Selcuk Castle View Suites Hotel. Saya menyewa bilik di rumah ini sebenarnya. Paling best boleh basuh baju di sini. Tinggal di kalangan penduduk tempatan, meskipun di tengah bandar buat saya rasa seperti orang tempatan.
Pemandangan di waktu malam juga menarik sebab balkoni di depan bilik mengadap ke aras istana lama. Kedai dan pusat membeli belah juga dekat. Begitu juga stesen bas. Hanya dalam jarak berjalan kaki. Tiada masalah bahasa yang ketara di sini.
103. Isu keselamatan mungkin menjadi antara topik hangat bila melibatkan Turki. Ditambah dengan siri letupan yang berlaku sejak beberapa bulan lepas.
Malahan sewaktu saya berada di Istanbul, satu letupan telah berlaku di salah satu stadium di Istanbul. Antara langkah berjaga-jaga yang saya ambil adalah mengelak daripada mengunjungi lokasi ramai orang berkumpul.
Akhir kata, tidak kira di mana anda berada, pandai-pandailah bawa diri. Bagai dipesan oleh nenek moyang kita, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Macam cliché pesanan ni kan? Tapi itulah kenyataannya. Pelajari dan buat kajian serba sedikit tentang adat budaya di negara yang ingin anda tuju sebelum berangkat.
Andai travel dapat menjadikan anda seorang insan yang lebih baik, positif, kreatif dan berdikari maka keluarlah mengembara dan kembali sebagai seorang yang lebih bersemangat untuk mengejar impian dan cita-cita anda di dalam hidup.
Pasangkan niat untuk bertemu orang-orang yang baik di sepanjang perjalanan serta ingin menambah kenalan. Seronoknya lain macam bila ada kawan dari merata tempat dan berbeza budaya serta latar belakang.
Juga, sebaiknya sebelum anda melangkah keluar, belajarlah dan ambil tahu tentang sejarah negara kita. Sekurang-kurangnya apabila ada yang bertanya, anda mampu memberikan jawapan yang bisa memperlihatkan sisi positif negara dan bangsa anda. Jika bukan kita yang berbangga dengan sejarah bangsa kita, usah berharap untuk orang lain menghargainya.
Saya berharap tips di atas dapat membantu anda yang juga ingin cuba travel sendiri di Turki. Juga harap sudi doakan agar impian saya untuk melihat lebih banyak tempat dan travel gaya bajet dimakbulkan tuhan. Travel memang perlukan duit. Tapi bukan bermakna travel memerlukan belanja yang besar jika anda tahu caranya.
Its ok to get lost whilst travelling abroad. It might probably leads you to a very special moment that will be remembered for a life time.
Secara jujurnya saya akui saya tak kisah jika sesat sewaktu travel. Kerana di waktu beginilah tuhan akan temukan saya dengan insan-insan yang sanggup menolong saya.
Meskipun momen yang berlaku hanya beberapa minit sahaja, tapi inilah antara yang menjadi kenangan paling manis untuk dikenang – bertemu dengan insan-insan berhati baik.
Rasa nak pergi Turki lagi.
Ida Latif
Editor, TheVocket.com
Baca lagi 22 Aktiviti Menarik Yang Boleh Anda Lakukan Bila Travel Ke Cappadocia Turki