Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak 100,000 belia Malaysia bakal menerima langganan percuma perisian kecerdasan buatan (AI) terkemuka bagi meningkatkan literasi digital serta pembangunan kemahiran golongan berkenaan.
Menurut beliau, pendaftaran bagi inisiatif di bawah program AI Untuk Rakyat itu akan dibuka pada 31 Ogos ini untuk rakyat Malaysia yang berumur antara 18 hingga 30 tahun.
Peserta yang berjaya melengkapkan siri kursus AI di platform Rakyat Digital akan menerima langganan percuma selama tiga bulan bagi alatan AI terpilih, petik New Straits Times.
Kursus-kursus yang ditawarkan merangkumi topik AI Safety, Cyber SAFE, Agentic AI, Generative AI dan Cloud Untuk Rakyat.
“Program AI Untuk Rakyat diperkenalkan bagi memperkukuh pemahaman dan penggunaan kecerdasan buatan, khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Ia menawarkan akses dan langganan percuma perisian AI bagi belia yang menyelesaikan modul pembelajaran di bawah platform Rakyat Digital,” kata beliau pada majlis pelancaran AI Malaysia Bhd.
Sempurnakan Kursus Sebelum Dapat Akses AI
Anwar menjelaskan bahawa peserta diwajibkan menyempurnakan kursus berkenaan terlebih dahulu sebelum diberikan akses kepada alatan AI tersebut.
Langkah ini bertujuan memastikan mereka memahami cara memanfaatkan teknologi berkenaan secara berkesan dan bertanggungjawab.
“Kita mahu mereka mengikuti kursus ini dan melengkapkannya supaya kita yakin mereka benar-benar mampu menggunakan alatan ini,” ujar beliau.
Tambah beliau, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada aspirasi lebih besar negara untuk menjadi sebuah ‘Negara AI’, yang didorong oleh kerjasama erat antara pihak kerajaan, industri dan akademik.
Anwar turut menegaskan pentingnya Malaysia memperkasakan pembangunan bakat AI, menambah baik infrastruktur digital serta mendedahkan pelajar kepada teknologi AI sejak peringkat awal lagi.
Pada masa sama, kerajaan akan terus memastikan tadbir urus AI dijalankan secara bertanggungjawab di samping menggalakkan penggunaan teknologi tersebut secara lebih meluas.