Seperti kita sedia maklum, pengasas KK Mart telah dilaporkan tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan dengan penjualan stokin kalimah Allah.
Walaubagaimanapun, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd (KK Mart), Datuk Seri Chai Kee Kan mendedahkan bahawa ekoran kejadian berkenaan telah memberi kesengsaraan buat keluarganya lapor Berita Harian.
“Ini bukan satu perjalanan yang mudah, saya sedih kejadian ini berlaku kepada syarikat ini, selama 124 hari saya dan keluarga begitu sengsara,” luahnya.
Kee Kan, 57, mengakui mengalami pelbagai pengalaman mencabar dan tidak pernah dibayangkan sepanjang insiden yang berlaku selama empat bulan itu.
“Saya amat sedih perkara ini berlaku kepada saya dan syarikat. Ini sesuatu yang tidak terjangkau dalam pemikiran saya.
“Kejadian (stoking kalimah Allah) ini adalah suatu yang tidak akan dilupakan. Justeru, saya harap keputusan (lepas dan bebas) akan menoktahkan perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.