Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan sejumlah 13,820 majikan, atau 2.02 peratus daripada keseluruhan 685,399 majikan yang berdaftar di Malaysia gagal membayar caruman pekerja mereka sehingga Jun 2024.
Bagi tempoh yang sama, seramai 12,787 pengarah syarikat telah dihalang keluar negara akibat tunggakan caruman, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.
Baca Juga:
Memetik laporan daripada Berita Harian, 635 nama pengarah syarikat telah dihantar ke Jabatan Imigresen bagi menghalang mereka ke luar negara.
Mereka perlu menjelaskan terlebih dahulu tunggakan caruman KWSP, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.
Tunggakan caruman KWSP, 635 pengarah syarikat dihalang keluar negara#BHbisnes Kegagalan membayar caruman KWSP pada masanya satu kesalahan serius, KWSP tidak akan teragak-agak guna penyelesaian undang-undang terhadap majikan yang ingkar.https://t.co/cX6YO9ZC2b
— Berita Harian (@bharianmy) August 28, 2024
Perkembangan itu turut disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin yang mengingatkan semua majikan untuk membayar caruman pekerja mereka dengan segera sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Kegagalan membayar caruman KWSP pada masanya merupakan satu kesalahan serius dan KWSP tidak akan teragak-agak untuk menggunakan penyelesaian undang-undang terhadap majikan yang ingkar, termasuk tindakan sivil dan jenayah, untuk melindungi hak pekerja,” katanya dalam satu kenyataan
Dalam tempoh antara Januari dan Jun 2024, sebanyak 1,932 saman sivil telah difailkan terhadap pengarah syarikat manakala 2,200 kes jenayah difailkan terhadap majikan yang ingkar caruman KWSP bulanan pekerja mereka.
KWSP amat menggalakkan majikan untuk menggunakan platform KWSP i-Akaun yang membolehkan mereka menyemak dengan selamat senarai pekerja bagi caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran mereka.
Caruman bulanan menunjukkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan pekerja dan bagi memenuhi kewajipan undang-undang.
KWSP akan terus menguatkuasakan dan memantau majikan untuk memastikan semua jumlah tertunggak dibayar sepenuhnya.