Pagi di Jalan Bukit Petaling selalunya berlalu seperti biasa dengan kesibukan lalu lintas ibu kota.

Namun, suasana di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) kali ini tampil berbeza.

Beberapa khemah ringkas terpacak di tepi jalan, dan kelihatan anak-anak kecil berlari gembira, seolah-olah tidak mengerti badai yang sedang melanda keluarga mereka.

Diusir Sehari Semalam Dari Penaga

Di sebalik gelak tawa kanak-kanak itu, tersimpan kisah duka ratusan warga Rohingya yang terpaksa sehelai sepinggang meninggalkan kediaman mereka di Pulau Pinang.

Selepas didesak oleh penduduk tempatan di penempatan mereka dekat Penaga, tiga buah bas disewa khas bagi membawa mereka ke Kuala Lumpur awal pagi tadi demi mencari jawapan dan perlindungan.

Langkah ini diambil selepas beberapa klip video tular di media sosial memaparkan deretan bas membawa pelarian berkenaan keluar dari kawasan perkampungan tersebut.

14 Tahun Tinggal Sana, Semua Barang Kena Tinggal

Memetik Harian Metro, bagi Rizuan, 28, kejadian yang berlaku ibarat mimpi ngeri. Menyewa rumah dengan warga tempatan dan menetap di sana berbelas tahun, dia langsung tidak menduga keharmonian itu akan terlerai sekelip mata tanpa diberi masa secukupnya untuk mengemas barang.

“Saya tak tahu sebab apa mereka halau, mereka tak bagi banyak masa untuk keluar, jadi kita semua bawa apa boleh sahaja, barang-barang semua tinggal sana,” katanya.

Rizuan meluahkan rasa bingung dengan apa yang berlaku kerana sebelum ini hubungan mereka dengan komuniti setempat berjalan baik. Baginya, mungkin nila setitik merosakkan susu sebelanga.

“Saya sudah tinggal sana 14 tahun, sebelum ini tak ada masalah. Saya tak tahu apa jadi buat mereka marah. Saya sewa rumah dengan orang Malaysia juga. Mungkin satu dua orang yang buat hal, tapi kami semua yang kena,” tambahnya lagi.

Kini, tumpuan utamanya hanyalah keselamatan keluarga, lebih-lebih lagi isterinya kini sedang sarat mengandung. Buat masa ini, berteduh di dalam khemah sementara menunggu maklum balas daripada pihak UNHCR adalah satu-satunya pilihan yang ada.

Memilih Untuk Elak Perbalahan

Perasaan keliru turut dirasai oleh Ahmad, seorang lelaki berusia 40-an. Katanya, keputusan untuk menaiki bas dan meninggalkan kampung berkenaan dibuat semata-mata kerana mereka tidak mahu mencetuskan sebarang pergaduhan atau masalah dengan penduduk tempatan.

“Saya pun tidak tahu pasal apa, mereka datang dan suruh kami pindah. Kami pun tidak mahu cari masalah jadi kami semua naik bas malam tadi dan keluar daripada kampung itu,” ujarnya ringkas.

Suasana di sekitar Pejabat UNHCR ketika ini dipantau rapi oleh sekumpulan pegawai dan anggota polis. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan kehadiran pihak berkuasa di lokasi semata-mata untuk mengawal ketenteraman awam dan memastikan keselamatan kawasan tersebut terjaga.

Menanti Sinar Di Tepi Jalan

Melihat nasib yang menimpa mereka, ia bukan sekadar isu pemindahan tempat tinggal, tetapi tentang soal kemanusiaan dan masa depan yang penuh tanda tanya.

Tanpa hala tuju yang pasti dan hanya berbumbungkan khemah di celah kepulan asap kota, jawapan kini berada di tangan pihak UNHCR dan agensi berkaitan untuk menentukan nasib seterusnya buat keluarga-keluarga ini.