Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian UNHCR Malaysia melaporkan lebih 50 Rohingya di sebuah perkampungan Pulau Pinang telah dipaksa keluar dari rumah mereka oleh penduduk tempatan sebelum Hari Raya, lapor Malaysia Now.
Mereka yang terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas telah meninggalkan kampung itu “tanpa sebarang amaran” oleh sekumpulan kecil penduduk tempatan, kata UNHCR Malaysia dalam catatan di Facebook yang turut memaparkan gambar sebuah rumah kosong.
Baca Juga:
- Lelaki Mengamuk, Tak Puas Hati Pasar Selayang Jadi Kawasan Jajahan Warga Rohingya
- Peguam Anggap Etnik Rohingya Beban, Tak Terkejut Jika Mereka ‘Demand’ Hak Rakyat Malaysia
UNCHR menambah bahawa rumah ini sepatutnya riuh rendah dengan kanak-kanak yang tidak sabar untuk menyambut hari raya, bagaimanapun ia kini sunyi disebabkan tragedi ini.
“Jiran tetangga memberitahu kami bahawa masyarakat Rohingya telah tinggal di sini selama hampir 10 tahun dan tidak menimbulkan sebarang masalah, mereka bergaul baik, malah bertutur dalam bahasa Melayu dengan dialek tempatan. Lazimnya, ini adalah pengalaman biasa bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang tinggal berdekatan dengan pelarian,” katanya.
Malaysia dikatakan menempatkan lebih 100,000 pelarian Rohingya dari Myanmar yang melarikan diri dari tindakan kejam negara asal mereka.
UNHCR Malaysia berkata pelarian Rohingya di Pulau Pinang dipaksa keluar dari rumah mereka “tanpa provokasi”, malah badan berkenaan turut melahirkan rasa terkejut kerana perkara seperti itu berlaku pada bulan Ramadan.
“Kejadian ini dapat dielakkan sepenuhnya dengan dialog dan persefahaman. Pelarian ini adalah mangsa malang kejahilan dan sikap tidak bertoleransi,” katanya.