Festival muzik elektronik terbesar Asia Tenggara, Djakarta Warehouse Project (DWP), kini menjadi perhatian setelah beberapa warga Malaysia mendakwa mereka menjadi mangsa peras ugut oleh polis Indonesia ketika menghadiri acara tersebut, lapor The Edge.

Dakwaan ini membawa kepada penahanan 18 anggota polis oleh pihak berkuasa Indonesia untuk siasatan lanjut.

Brigadier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko, Ketua Biro Penerangan Awam Polis Indonesia, mengesahkan bahawa anggota polis dari tiga unit, iaitu Metro Jaya District Police, Central Jakarta Metro Police, dan Kemayoran Police Station, kini ditahan oleh Bahagian Profesional dan Keselamatan Polis (Propam).

“Anggota ini telah ditahan untuk siasatan lanjut oleh Propam. Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salah laku,” tegas Trunoyudo.

Insiden ini tercetus selepas beberapa rakyat Malaysia menggunakan media sosial untuk meluahkan pengalaman buruk mereka sepanjang acara berlangsung.

Mereka mendakwa dipaksa menjalani ujian air kencing, menyerahkan pasport, dan diminta membayar sejumlah wang, walaupun keputusan ujian dadah adalah negatif.

Antara dakwaan paling mengejutkan ialah jumlah wang yang diminta, yang dikatakan mencecah RM90,000 hingga RM200,000 (sekitar Rp 315 juta hingga Rp 700 juta).

Penonton mendakwa polis menyamar hadir di lokasi untuk mencari sasaran antarabangsa, khususnya rakyat Malaysia.

Penganjur acara, Ismaya Live, menyatakan rasa kesal atas pengalaman buruk yang dialami penonton, terutamanya warga antarabangsa.

Dalam kenyataan mereka, Ismaya Live menegaskan bahawa isu tersebut berada di luar kawalan mereka tetapi menekankan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat insiden itu.

“Kami memahami impak kejadian ini terhadap penonton dan akan memastikan tindakan nyata diambil bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang,” kata kenyataan rasmi Ismaya Live.

Insiden ini turut mendapat perhatian serius daripada Ketua Komisi III DPR Indonesia, Habiburokhman.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas perlu dikenakan jika dakwaan ini terbukti benar.

“Kami yakin Propam akan menyelesaikan kes ini dengan adil. Jika benar berlaku pemerasan, mereka yang terlibat harus dihukum,” katanya.

Kompolnas (Komisi Kepolisian Nasional) turut menyuarakan perkara sama, menyeru agar kes ini dibawa ke pendengaran etika dan dikenakan hukuman jenayah jika terbukti bersalah.

DWP, yang berlangsung dari 13 hingga 15 Disember 2024 di Jakarta International Expo, Kemayoran, merupakan acara yang telah lama menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Acara tahun ini menampilkan nama besar dalam muzik EDM seperti Steve Aoki, Zedd, Armin van Buuren, dan Timmy Trumpet.

Namun, kejadian ini telah mencemarkan reputasi festival tersebut, khususnya di kalangan penonton antarabangsa.

Gelombang protes di media sosial menggunakan tanda pagar seperti #BoikotDjakartaWarehouseProject menunjukkan kemarahan yang semakin memuncak.