19 laporan polis melibatkan ancaman bom telah dibuat di seluruh negara semalam melibatkan beberapa sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan, Sekolah antarabangsa dan sekolah swasta yang beroperasi dalam negara.

Ancaman yang datang daripada emel dari individu yang tidak dikenali telah mengusarkan pihak sekolah sehingga memaksa mereka memindahkan kesemua warga sekolah. Difahamkan terdapat juga beberapa sekolah yang menelefon ibu bapa pelajar untuk dibawa pulang.

Baca Juga:

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kepada Malaysia Gazette, ancaman bom itu telah dihantar melalui dua akaun emel menggunakan nama ‘taktstorer’ dari bahasa Jerman yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dari penyedia perkhidmatan emel beeble.com.

Manakala 19 laporan tersebut datang daripada tujuh di selangor; lima laporan ancaman di Kuala Lumpur; tiga di Johor; dua di Pulau Pinang; dan masing-masing satu laporan ancaman di Perak dan di Negeri Sembilan.

Pihak PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pihak sekolah bekerjasama bagi mengosongkan premis-premis yang terlibat bagi menjaminkan keselamatan warga sekolah dengan membawa ke lokasi-lokasi berkumpul sepertimana ditetapkan di sekolah masing-masing, sebelum pelajar dibenarkan beredar pulang.

PDRM turut memanggil unit pemusnah bom di semua lokasi yang terlibat bagi proses pembersihan keselamatan, bagaimanapun tiada sebarang ancaman yang dikesan. Siasatan lanjut polis juga mendapati bahawa emel yang mengeluarkan ancaman bom itu palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti yang didakwanya.

Kandungan asal e-mel ancaman yang ditulis menggunakan bahasa Inggeris tersebut difahamkan tidak pernah digunakan dan baru dicipta adalah kandungan emel yang sama dikesan dihantar ke-70 buah sekolah di Jamaica pada 12 November 2023 melalui penyedia perkhidmatan emel yang sama.

“Dalam perkara ini, siasatan PDRM turut menjurus sama ada insiden di Malaysia, mempunyai kaitan dengan kejadian di Jamaica yang dipercayai didalangi seorang individu bermasalah yang mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya,” kata Razarudin kepada pemberita.

Razarudin berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 507 kanun keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.