Dua SUV berdaftar di Singapura yang disyaki menawarkan dan mengambil penumpang berhampiran Legoland Malaysia dilaporkan telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor pada 9 Ogos lalu.

Menurut portal dari Singapura, Mothership.sg yang memetik China Press, sekitar jam 12 tengah hari, pemandu kedua-dua kereta tersebut dipercayai sedang bersiap untuk membawa penumpang ke Singapura apabila mereka didatangi pegawai penguat kuasa daripada jabatan berkenaan.

Baca Juga:

Salah seorang sumber yang ditemu bual oleh media itu mendakwa beliau percaya tindakan tersebut diambil susulan aduan daripada orang awam.

Beliau turut menambah bahawa isu perkhidmatan e-hailing haram antara Malaysia dan Singapura telah menarik perhatian di kedua-dua negara.

Hukuman berat jika ‘kantoi’ buat e-hailing haram

Terdahulu, China Press melaporkan kira-kira 70 peratus pemandu e-hailing haram telah membatalkan perkhidmatan mereka menjelang hujung minggu sambutan Hari Kebangsaan, selepas Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) di Singapura meningkatkan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan e-hailing haram antara Malaysia dan Singapura.

Seorang pemandu, dikenali Chen, berkata dengan hukuman yang begitu berat, ramai pemandu tidak mahu mengambil risiko.

LTA turut memberi amaran agar tidak menggunakan perkhidmatan e-hailing haram kerana ia boleh membahayakan keselamatan penumpang.

Sekiranya pemandu ditangkap ketika operasi penguatkuasaan, ia juga boleh mengganggu perjalanan penumpang.

Mereka yang didapati bersalah menawarkan perkhidmatan e-hailing haram boleh dikenakan denda sehingga S$3,000 (RM9,879) dan/atau penjara selama enam bulan.

Kenderaan yang terlibat juga boleh dilucut hak.