Sejumlah 20 syarikat teratas Bursa Malaysia mendermakan RM129.25 juta secara tunai pada 2022, menurut laporan Wiki Impact bertajuk Bursa Top 20: Who’s The Most Charitable?.

Menurut laporan itu, Sime Darby Bhd, Tenaga Nasional Bhd, IOI Corp Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan CIMB Group Holding Bhd merupakan kalangan penyumbang utama pada 2022.

Baca Juga:

Laporan itu menjelaskan bahawa maklumat tersebut adalah berdasarkan data yang tersedia secara umum. Namun begitu, terdapat penurunan drastik berbanding dengan jumlah derma tahun sebelumnya iaitu berjumlah RM156.69 juta sekaligus memperlihatkan corak pemberian korporat yang berubah-ubah.

“Nisbah purata tunai kepada untung bersih bagi kesemua 20 syarikat itu pada masa ini adalah 0.26 peratus, menunjukkan sedikit penurunan daripada purata 0.29 peratus pada 2021,” tambahnya.

Laporan itu memaklumkan bahawa Sime Darby, dengan RM20 juta daripada RM1.10 bilion keuntungan bersihnya disalurkan kepada badan amal serta inisiatif sosial dan alam sekitar yang lain, sekali lagi membezakannya sebagai penyumbang tunai terbesar pada 1.81 peratus (pemberian tunai daripada keuntungan bersih), yang lebih tinggi daripada pemberian tunai berjumlah 1.40 peratus pada 2021.

Selain itu, Tenaga Nasional Bhd memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM3.46 bilion dan mendermakan kira-kira RM153.71 juta, menyumbang 4.44 peratus daripada pendapatan bersih syarikat,” tambah laporan itu.

Laporan ini juga mendedahkan bahawa 20 syarikat terbabit lebih menfokuskan pendidikan sebagai bidang utama untuk pemberian amal yang mana membentuk 33.6 peratus daripada sumbangan mereka. Kemudian, diikuti penajaan pada 15.6 peratus dan kebajikan pada 12.5 peratus sementara sukan menerima jumlah terendah iaitu sekitar 1.8 peratus sahaja.

Pengasas Bersama Wiki Impact, Terence Ooi berkata 20 syarikat Bursa Malaysia teratas itu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar korporat, memperluas impaknya kepada pekerja, komuniti dan masyarakat secara amnya.

Beliau berkata laporan itu menetapkan dasar dan visi untuk syarikat lain mencontohi atau mengatasi dari segi sumbangan.

“Laporan tahun kedua berturut-turut ini selari dengan objektif utama kami dalam untuk menggalakkan dan memberi inspirasi kepada syarikat yang dipacu keuntungan untuk memupuk budaya dermawan dalam organisasi mereka.

“Kami percaya bahawa perkongsian pandangan akan membuka jalan kepada lebih banyak syarikat untuk mengenali nilai memberi kembali,” katanya lagi.

Sumber