Sebagai destinasi percutian kegemaran rakyat Malaysia, kawasan Selatan Thailand khususnya Hatyai dan Songkhla dijangka menerima kunjungan lebih 15,000 hingga 20,000 pelancong Malaysia setiap hari sempena cuti Hari Malaysia dan cuti sekolah yang akan datang, lapor NST.
Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, menjelaskan bahawa angka pelancong Malaysia ke Thailand telah mencapai kemuncaknya semasa cuti Hari Kebangsaan yang lepas.
“Pada hari itu sahaja, pihak berkuasa Thailand mencatatkan seramai 18,000 rakyat Malaysia yang masuk ke Selatan Thailand. Jadi, untuk cuti Hari Malaysia kali ini, saya percaya angkanya akan berada di antara 15,000 hingga 20,000 pelancong setiap hari.”
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Hatyai dan Songkhla tetap menjadi pilihan utama.
Kedua-dua bandar ini menawarkan gabungan suasana tradisional dan moden, dengan tarikan makanan yang sedap, tempat membeli-belah yang murah, serta penginapan yang mampu milik.
“Selepas pandemik, semakin ramai rakyat Malaysia memilih Hatyai dan Songkhla kerana ia dekat dan mudah diakses,” tambah Ahmad Fahmi.
Menurut beliau, kebanyakan pelancong Malaysia akan memasuki Thailand melalui pintu sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam, yang merupakan laluan paling sibuk.
“Kira-kira 10,000 orang sehari akan menggunakan pintu masuk alternatif seperti di Padang Besar, Sungai Golok, dan Betong,” katanya lagi.