Usahawan kosmetik & influencer, Datuk Seri Aliff Syukri, 37, telah membuat keputusan untuk berhenti daripada dunia nyanyian, lapor Harian Metro.
Menurut laporan itu, beliau berbuat keputusan itu atas faktor usia yang semakin meningkat. Pada masa sama sering terpalit kontroversi membabitkan undang-undang akibat karya lagu raya dianggap tidak menghormati budaya dan agama baru-baru ini.
Baca Juga:
- Tan Sri Abdul Kadir Saman Datuk Seri Aliff Syukri RM70 Juta
- MCMC Sita, Hantar Kad Sim Dan Telefon Bimbit Aliff Syukri Ke Forensik
- Aliff Syukri Geli Hati Tengok Ramai Terkena Konten April Fool Lagu Raya
“Tahun ini adalah tahun terakhir saya sebagai penyanyi. Tahun ini adalah tahun paling ‘suwey’ (malang).
“Setiap gerak geri saya dikritik, bahkan, kes baru-baru ini juga masih dalam siasatan. Sedikit sebanyak, ia memberi tekanan dan penyesalan kepada saya. Jadi, saya tarik diri dan reda,” katanya kepada Harian Metro.
Tambahnya lagi, keadaan ekonomi hari ini turut menyebabkan kes samannya mencabar dan mengganggu emosinya.
Namun menurutnya, pengunduran itu turut sebagai membuka peluang kepada artis-artis baharu (BBNU) untuk menyerlah.
“Tapi, janganlah kerana tak ada lagu, anda lupakan saya. Berilah BBNU baru untuk naik pula.
“Saya sampai bergaduh suami isteri dan bukan gimik. Jujurnya, saya dah putus asa. Mungkin saya dibenci sebagai penyanyi,” kata Aliff ketika ditemui Harian Metro baru-baru ini.
Terdahulu, MCMC telah menyita dan menghantar kad sim serta telefon bimbit Aliff Syukri ke forensik selepas memuat naik teaser lagu raya yang mengundang kontroversi.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil apabila disoal oleh pengamal media pada awal April lalu.
Menurut Aliff, video teaser yang dimuat naik itu cumalah prank untuk hari April Fool sahaja. Dia cuma ingin bergurau dengan seluruh rakyat Malaysia.
Sementara itu, bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menuntut bayaran RM70 juta daripada ahli perniagaan tersebut atas dakwaan memfitnah.
Abdul Kadir mendakwa usahawan itu telah mencemar dan mencalarkan kredibiliti dirinya dengan memuat naik dua hantaran pada tahun 2023 sehingga mengundang komen negatif daripada pembaca.
Pada masa sama bekas menteri itu meminta ganti rugi yang dinilai mahkamah dan perintah supaya defendan memberi aku janji bertulis tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat disiarkan di akaun media sosial usahawan terbabit selama tujuh hari.
Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes saman itu selama tiga hari pada awal 2026, lapor Berita Harian.