Tiga penghantar makanan (rider) berdepan detik malang selepas menjadi mangsa sabotaj pihak ketiga yang dipercayai didalangi oleh sindiket ceti haram.

Mereka terperangkap dalam taktik pesanan palsu ‘Tunai Semasa Serahan’ (COD) yang didaftarkan menggunakan nombor telefon Malaysia di sebuah kondominium di Singapura.

Insiden licik itu mula mendapat perhatian ramai selepas pengguna TikTok Klinsmann (@klins_05), memuat naik siri video pendedahan mengenai kejadian yang berlaku pada 6 Julai sekitar jam 3.45 petang itu.

@klins_05

WHAT A SCAM😡 PART 3 pov sgfyp sgtiktok relatable fooddelivery motorcycle

♬ original sound – Klinsmann 🍍 – Klinsmann 🍍

Menurut Klinsmann Tay, 21, yang merupakan penghantar makanan Foodpanda, dia menghantar pesanan makanan dari sebuah premis di Hospital Ng Teng Fong ke unit kondominium berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik sahaja pintu diketuk, pemilik rumah wanita memaklumkan bahawa nama penyewa yang tertera pada aplikasi sebenarnya tiada di rumah.

“Selepas memeriksa butiran pada telefon, pemilik rumah mengesahkan nama itu memang milik penyewanya, tetapi menegaskan penyewa tersebut tidak membuat sebarang pesanan makanan,” kata Tay kepada portal Stomp.

Lebih mencurigakan, apabila Tay cuba menghubungi pelanggan berkenaan, talian gagal disambungkan kerana ia merupakan nombor telefon dari Malaysia.

Apabila ditanya sama ada penyewanya mempunyai masalah kewangan atau hutang ceti haram, pemilik rumah enggan mengulas lanjut atas alasan sibuk bermesyuarat lalu menutup pintu.

Dua Lagi ‘Rider’ Tiba Berturut-Turut Di Rumah Sama

Sangkaan Tay bahawa kes ini merupakan gangguan ceti haram terbukti benar apabila seorang demi seorang penghantar makanan dari syarikat lain tiba di unit yang sama dengan pesanan COD berbeza.

Rider Pertama (Tay): Pesanan COD pertama.

Rider Kedua: Tiba beberapa minit kemudian dengan pesanan COD bernilai $50 (RM157.60).

Rider Ketiga: Tiba membawa pesanan COD bernilai $65 (RM204.88).

Bagi mengelakkan pembaziran memandangkan kesemua pesanan menggunakan nombor Malaysia yang tidak dapat dihubungi, Tay menyarankan rakan-rakannya itu untuk memakan sendiri hidangan tersebut atau menyedekahkannya.

Pihak keselamatan kondominium kemudiannya turut tiba di lokasi untuk mengawal keadaan.

Sistem COD Digesa Dimasuhkan, Rider Tanggung Kerugian

Memetik portal Stomp lagi, susulan kes khianat tersebut, Tay meluahkan rasa kesal dan menggesa agar sistem pembayaran tunai (COD) dimansuhkan bagi mengelakkan golongan penghantar makanan terus menjadi mangsa buli sindiket.

Beliau menjelaskan bahawa proses aduan dan pembatalan aplikasi memakan masa sehingga 20 minit, menyebabkan dia kerugian pendapatan sekitar $20 (kira-kira RM65) bagi masa yang terbuang begitu sahaja.

“Sistem COD ini perlu dihapuskan. Kami membazir masa dan minyak datang ke sini, tetapi tiada sebarang pampasan atau ganti rugi diberikan oleh pihak pengurusan aplikasi,” luahnya dengan kecewa.

Menurut Tay, ini merupakan kali ketiga dia terkena taktik kotor seumpama itu dan percaya lebih banyak penghantar makanan luar sana yang turut menjadi mangsa penganiayaan ceti haram yang menggunakan taktik pesanan palsu ini.