Sebanyak 30 perahu berhias berkonsepkan patriotik menyusuri Sungai Linggi di Alor Gajah sempena Festival Sungai Melaka 2026, sekali gus mencuri perhatian pengunjung yang hadir ke acara berkenaan.
Pertunjukan perahu berhias yang memasuki edisi kedua itu berlangsung dari Jeti Telok Berembang dan melibatkan komuniti nelayan dari Telok Berembang, Ramuan China Kechil, Paya Lebar, Sungai Timun serta Sungai Mati.
Jumlah penyertaan tahun ini juga meningkat berbanding hampir 20 buah perahu pada penganjuran sebelumnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Tuan Shaharul Azuar Idris, acara berkenaan bukan sekadar mengetengahkan kreativiti komuniti nelayan, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara PPSPM dengan masyarakat setempat.
“Penganjuran ini bukan sekadar memberi ruang kepada nelayan darat menampilkan kreativiti, malah menjadi platform PPSPM untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat,” katanya.
Kerjasama bersama komuniti tempatan itu turut dilihat penting dalam menyokong operasi dan promosi Eco-Cruise Sungai Linggi, di samping membuka peluang ekonomi kepada nelayan, peniaga dan penduduk sekitar.
Lebih 50,000 Pengunjung Sepanjang Festival

Festival Sungai Melaka 2026 buat julung kalinya dianjurkan di ketiga-tiga daerah di Melaka iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.
Sepanjang hampir tiga bulan penganjuran, festival itu menghimpunkan lebih 30 acara berteraskan pelancongan, rekreasi, warisan, kebudayaan dan komuniti serta merekodkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung.
Penganjuran itu turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan penduduk setempat menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan di sekitar kawasan sungai.
Di Alor Gajah sahaja, antara aktiviti yang diketengahkan termasuk pertandingan memancing udang galah, dam aji, konda-kondi, busana cilik, tebar jaring, fun walk, plogging dan pertandingan memancing.
Festival Melabuhkan Tirai Di Pantai Tanjung Bidara

Festival Sungai Melaka 2026 telah melabuhkan tirainya menerusi Festival Seni Selat dan Sungai Melaka yang berlangsung dari 18 hingga 20 September 2026 di Pantai Tanjung Bidara.
Antara aktiviti yang diketengahkan termasuk jet ski, donut boat, banana boat, pertunjukan flyboard, pertunjukan perahu layar serta pengalaman menaiki Melaka Sea Cruise.
Secara keseluruhannya, Festival Sungai Melaka 2026 bukan sahaja mengetengahkan sungai sebagai ruang rekreasi, tetapi turut menjadi platform untuk memperkenalkan produk pelancongan, warisan dan komuniti tempatan kepada pengunjung.