Sedar tidak sedar filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) sudah 30 tahun hidup dan masih relavan untuk ditonton sehingga kini. Filem ini mula ditayangkan pada Februari 1986 yang menceritakan tentang kisah perjuangan Bujang (M. Nasir) dalam dunia seniman terutama berhadapan dengan pencetak rompak yang dipanggilnya sebagai ‘lanun’.

“Brader… kita mesti terus hidup!”

Dalam perjalanan ini beliau berkenalan dengan Osman Tikus (Pyan Habib) yang secara kebetulan menjadi manager beliau. Filem kontroversi ini walaupun terdapat beberapa pihak yang panas ‘punggung’ dan cuba menyekat (ban) dari ditayangkan namun sehingga kini ia masih relevan dan dibincangkan.

Nasir Jani, pengarah filem ini telah mendedahkan rahsia kenapa filem ini mampu bertahan dan terus dibincangkan ketika beliau menjadi ahli panel dalam program Diskusi Jalanan bertempat di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

“Hanya filem yang mempunyai statement (kenyataan/gagasan) sahaja yang akan bertahan lama,” kata Nasir Jani.

Beliau mengimbau kembali idea bermulanya apabila beliau mendapat tawaran daripada M. Nasir untuk mengarah filem. Bersama dR Sam beliau cuba membawa kelainan dalam filem yang bakal diterbitkan olehnya menyebabkan banyak babak cinta/jiwang yang ditulis didalam skrip awal M. Nasir diubah bersesuaian dengan konflik masalah seniman terutama berkaitan dengan ekonomi mereka.

Dalam KSJ juga beliau berjaya menjadi pengarah pertama di Malaysia yang berani mengambil dan mengangkat Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Pyan Habib sebagai pelakon. Watak Osman Tikus berjaya dilakonkan dengan cemerlang oleh Pyan Habib kerana Pyan Habib hanya perlu menjadi dirinya sahaja sepanjang lakonan itu.

Kontroversi Demi Kontroversi

Bermulanya tayangan filem KSJ, Nasir Jani mula berhadapan dengan perlbagai halangan-halangan yang besar. Filemnya yang banyak menunjukkan suasana golongan marginal Kuala Lumpur, politik tanah air, cetak rompak, ekonomi khususnya bangsa Melayu secara tidak langsung mula dikecam oleh banyak pihak.

Mendedahkan beberapa peristiwa yang menjadi kontroversi seperti penolakan trofi daripada Pyanhabib untuk anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik dan konflik politik, beliau juga mendedahkan apa yang berlaku ketika filem ini ditayangkan di pangung Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pulau Pinang.

Beberapa hari selepas tayangan beliau mendapat pangilan daripada kawannya yang mengatakan berlaku kekecohan di dalam panggung akibat daripada filem KSJ. Beliau akhirnya turun sendiri ke KOMTAR untuk mengetahui punca kekecohan yang dikatakan. Rupa-rupanya tayangan filem beliau di KOMTAR banyak dipotong terutama babak-babak yang melawan ‘lanun’ cetak rompak.

Kesabaran beliau memuncak apabila filemnya disingkirkan secara mengejut pada hari Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-7 (1987) dengan alasan bahawa M. Masir bukanlah rakyat tempatan (Singapura) sedangkan pada masa yang sama filem Suara Kekasih yang diarah oleh pengarah daripada Indonesia (Ida Farida) pula tidak disingkirkan daripada pencalonan.

Keputusan ini menyebabkan beliau menyerang pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk memohon penjelasan. Namun pertanyaan beliau tidak dijawab sehingga beliau mengambil keputusan untuk membaling batu memecahkan pintu FINAS sebagai tanda protes.

Masa Hadapan Seniman Tanah Air

“Hoi bujang, lu mainlah lagu-lagi sentimental, lagu-lagu jiwang, lagu cinta, barulah orang nak dengar.”

“Ahhh, lagu buat orang khayal jadi malas, tak ada kemajuan.”

Petikan ini diambil daripada dialog di antara Osman Tikus dan Bujang, bagi Nasir Jani karyawan seni haruslah berani dan tidak berpratisan dalam berkarya. Ini penting untuk memastikan hasil karya berkualiti.

Ketika KSJ mengadakan konsert rock menentang lanun cetak rompak dengan penampilan kumpulan seperti Search, Blues Gang dan Sweet Charity, sambutan yang dijangkakan hanyalah sekitar 10 ribu orang sahaja. Namun pada hari kejadian keadaan diluar kawalan kerana kehadiran penonton mencecah 35 ribu orang.

Terkejut dengan sambutan itu beliau bertanya kepada M. Nasir, “Apa yang kita sedang buat ini?” dan M. Nasir menjawab, “Kita sedang mencipta sejarah!”

Maka sehingga hari ini KSJ menjadi satu sejarah yang penting dalam dunia seniman tanah air. Beliau juga mendedahkan bahawa diantara penonton yang hadir ketika itu adalah Rosyam Nor yang menonton konsert di atas pokok. Peristiwa inilah yang diambil oleh Mamat Khalid di dalam filem terbarunya Rock Bro, ketika kumpulan Rimba Bara melakukan persembahan di Tapak Ekspo Pertanian ada penonton yang menonton di atas pokok.

Selepas menonton filem terbaru tanah air iaitu Interchange dan Hanyut, beliau percaya filem ini merupakan penanda aras baru dalam sejarah perfileman tanah air.

“Kita bangsa yang kreatif, kita bangsa yang kaya, yang kita miskin hanya jati diri kita!” ujar Nasir Jani.

Adakah Perjuangan KSJ Sudah Selesai?

Jika kita menonton filem KSJ, babak akhir menggambarkan M. Nasir, telah membakar kilang cetak rompak dan Ito (Blues Gang) telah menetak sehingga mati pemilik kedai cetak rompak itu. Selepas 30 tahun, lanun cetak rompak masih berleluasa lagi dan masih tidak dapat dihapuskan. Seniman-seniman kita juga masih menghadapi masalah mencari makan akibat daripada lanun-lanun cetak rompak ini.

Maka kisah KSJ juga tidak terhenti disana, Nasir Jani menceritakan bahawa sebenarnyan Ito yang menetak lanun cetak rompak telah melarikan diri ke Indonesia dan selepas 30 tahun beliau kembali ke tanah air dan itu merupakan misi Kembara Seniman Kedua.

Nantikan!