Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menyatakan hampir 300 pegawai perubatan yang ditawarkan jawatan di Sarawak gagal melapor diri untuk bertugas menjelang 1 Oktober.
Dr Sim berkata, Kementerian Kesihatan telah menempatkan seramai 542 doktor di Sarawak, namun 293 orang tidak hadir untuk melapor diri, petik Free Malaysia Today.
Baca Juga:
- Kompleks Satria Pertiwi, Pejabat Baharu Premier Sarawak Ala ‘White House’

- Istimewa Buat Anak Sarawak, Tiga Universiti Tawar Pengajian Percuma Tahun 2026

- Sarawak Tawar Sabah Kongsi Pemilikan AirBorneo

Beliau turut memaklumkan bahawa ketika ini terdapat 1,100 kekosongan jawatan pegawai perubatan di negeri itu.
“Kami telah memohon 650 calon bagi mengisi kekosongan tersebut, tetapi hanya 542 diberikan. Daripada jumlah itu, hanya 249 orang melapor diri, manakala sekitar 54% tidak berbuat demikian.
“Ini bermakna jumlah doktor yang tidak melapor diri lebih ramai daripada yang hadir bertugas,” katanya seperti dipetik oleh The Borneo Post.
Dr Sim turut menyatakan harapan agar mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan datang dapat mencapai kata sepakat dalam menangani isu ini.
Beliau sebelum ini mendedahkan bahawa tujuh hospital awam di Sarawak kekurangan kira-kira 11,000 tenaga kerja kesihatan, termasuk lebih 1,100 pegawai perubatan.
Katanya, angka itu berdasarkan anggaran daripada Kementerian Kesihatan selepas lawatan oleh pasukan sumber manusia pada bulan Julai lalu.