Seramai 3,524 pelarian Myanmar telah dipersetujui untuk dihantar pulang ke negara asal menerusi fasa kedua program penghantaran pulang secara sukarela.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan kini menunggu makluman daripada pihak Myanmar berhubung tarikh penghantaran pulang kumpulan berkenaan.
Menurut Menteri Komunikasi itu, tarikh berkenaan akan diselaraskan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri.
“Individu yang terlibat dalam fasa kedua telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Myanmar dan nama-nama tersebut dikemukakan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026 kepada Malaysia menerusi Wisma Putra,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Sementara itu, program penghantaran pulang secara sukarela fasa pertama berjaya dilaksanakan semalam dengan melibatkan 1,476 tahanan warga Myanmar.
Kesemua mereka dihantar pulang menggunakan tiga kapal, termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin berkata, kumpulan terbabit terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara lapan hingga 60 tahun.
Pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Myanmar bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 tahanan warga negara itu yang kini berada di Malaysia.
Susulan persetujuan berkenaan, KDN pada 30 Julai memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasi dan membuat tapisan terhadap tahanan warga Myanmar sebagai persediaan untuk penghantaran pulang.
Fahmi sebelum ini menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian Myanmar sekiranya terdapat risiko mereka dizalimi atau nyawa mereka terancam.
Beliau berkata, Wisma Putra akan meneliti terlebih dahulu aspek keselamatan sebelum sebarang proses penghantaran pulang dilaksanakan, termasuk mengenal pasti individu yang terbabit.
Fahmi turut memaklumkan bahawa Anwar dijangka mengadakan perbincangan dengan pihak Myanmar dalam masa terdekat bagi membolehkan lebih ramai warga Myanmar diterima pulang ke negara asal mereka.