Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim selepas merekodkan ketibaan 4.5 juta pelancong Muslim tahun lalu, sehingga berjaya menjana pendapatan sebanyak RM14.7 bilion, lapor BERNAMA.
Menurut Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Nizran Noordin, angka ini membuktikan potensi ekonomi yang besar dalam sektor pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim di negara ini.
Bercakap dalam rancangan Apa Khabar Malaysia di Bernama TV, Nizran menjelaskan bahawa populasi Muslim global kini mencecah dua bilion orang, dengan 1.1 bilion daripadanya berada di negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
ASEAN sendiri memiliki 255 juta Muslim, manakala 350 juta lagi tinggal di negara di mana mereka merupakan minoriti.
“Pasaran ini amat besar,” kata Nizran.
Menurut unjuran Mastercard-CrescentRating (Global Muslim Travel Index, GMTI), menjelang tahun 2028, 230 juta Muslim dijangka akan menerajui pasaran pelancongan, dengan perbelanjaan pelancongan mencecah USD225 bilion (RM987 bilion).
Bagi mempromosikan sektor ini, ITC menyediakan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition kepada penginapan-penginapan dan melatih sekitar 220 pemandu pelancong mesra Muslim di seluruh Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan pengalaman pelancong Muslim lebih selesa dan sesuai dengan keperluan agama.
Sebagai usaha lebih lanjut untuk mempromosikan pelancongan Islam, ITC kini sedang menganjurkan program Islamic Tourism Month (ITM) yang berlangsung dari 16 Ogos hingga 30 September.
Program ini menawarkan pelbagai promosi menarik termasuk tawaran penginapan, pakej pelancongan, pelancongan masjid, perkhidmatan kecantikan dan spa, serta pelbagai acara dan pameran lain yang berunsurkan pelancongan Islam.