Ahad lalu, Fouad Baka dari Algeria menghabiskan larian perlumbaan dalam acara 1500 meter di Paralimpik Rio di tempat keempat. Apa yang menarik tentang perlumbaaan ini adalah 4 pelari dalam acara ini menamatkan perlumbaan lebih laju daripada atlet Olimpik yang menyertai acara yang sama.
Sebagai perbandingan, Matthew Centrowitz Jr yang memenangi acara 1500m di Olimpik Rio Ogos lalu menamatkan perlumbaan dengan masa 3 minit 50 saat. Fouad yang ditempat keempat mencatat masa 3 minit 49.59 saat, manakala pemenang pingat gangsa Henry Kirwa dari Kenya (3 Minit 49.39 saat), pingat perak Tamiru Demisse dari Ethiopia (3 minit 48.59 saat) dan pingat emas Abdellatif Baka (3 minit 48.29 saat).
“Ianya bukan senang untuk memenangi pingat emas ini. Saya berusaha keras selama dua tahun tanpa henti dan ianya bukan sesuatu yang mudah buat saya,” kata Abdellatif yang merupakan adik kepada Fouad.
Acara larian ini adalah dalam kategori T12/13; larian untuk atlet dengan masalah penglihatan. Jika Fouad atau salah seorang dari pemenang pingat ini bertanding di Olimpik, semestinya mereka sudah memenangi pingat emas. Mereka selamba boleh ‘tapau’ pelari Olimpik dengan keupaayaan penuh.