Sejak beberapa tahun ke belakang KLIA2 (dulu LCCT) merupakan antara hub terbaik dan di rantau Asia bagi sektor penerbangan tambang murah. Ini sekaligus menarik mereka yang gemar travel cara bajet menjadikan KLIA2 sebagai transit sebelum terbang ke destinasi akhir di rantau ini.

Ditambah dengan promosi tambang murah AirAsia, ia merancakkan lagi kedatangan pelawat ke lapangan terbang ini. Pernah saya berbual dan bertanya dengan beberapa pelancong asing dari Eropah, Australia dan New Zealand, adakah pernah ke Malaysia?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ada antara mereka menjawab, hanya pernah sampai di KLIA2 untuk transit sebelum ke Bali, Bangkok dan destinasi lain. Tapi sambil ransit sempat juga cuba makanan dan membeli belah di KLIA2.

Mungkin sekali dengar seperti tiada apa sangat sumbangan mereka dalam berbelanja di KLIA2. Tapi jika sehari ada berpuluh ribu yang buat, ia tetap memberi impak yang besar dan menyumbang aliran wang masuk yang positif kepada para peniaga di KLIA2.

Corak melancong bagi pelancong tempatan juga berubah dan lebih ramai mampu terbang sama ada di dalam mahupun ke luar negara sejak adanya pilihan penerbangan tambang murah.

Tapi nampaknya mulai tahun depan, kemungkinan besar KLIA2 bukan lagi hub tambang murah yang digemari oleh ramai budget traveller.

MAVCOM telah mengumumkan akan menyelaras dan menaikkan caj perkhidmatan penumpang (PSC) di KLIA2. Dan ini sekaligus bakal memberi impak besar  kepada penggemar penerbangan tambang murah seperti kami.

klia2-3

Untuk ini saya senaraikan 4 sebab kenapa MAVCOM tidak wajar menaikkan caj PSC di KLIA2 :

1. Lari bajet kami

Tambang flight murah, tapi caj perkhidmatan penumpang (PSC) mahal. Kenaikan daripada RM32 ke RM73 adalah sangat banyak, naik sebanyak 128%. Apatah lagi bagi mereka yang perlu terbang bersama keluarga seramai 5 orang atau lebih. Bayangkan berapa ratus RM kami kena bayar untuk PSC saja.

2. Pelancong luar akan cari alternatif lain

Pilihan lain masih banyak untuk pelancong dari luar negara. Jikacaj PSC di KLIA2 mahal, mereka boleh pilih transit di airport di Thailand atau Indonesia. Atau terbang terus ke destinasi akhir tanpa transit di KLIA2 jika total kos penerbangan yang dibayar tak banyak beza berbanding transit.

Sedangkan hakikatnya selepas penyelarasan caj PSC di KLIA2 nanti,  caj bagi beberapa lapangan terbang di negara maju dan negara jiran sebenarnya menjadi lebih murah berbanding di KLIA2. Antaranya adalah di lapangan terbang Osaka T2, Narita T3, Jakarta, Manila, Bali, Yogyakarta dan Brunei.

Dan ini sererusnya akan memberi kesan kepada nombor 3.

3. Kadar pelawat di KLIA2 bakal turun

Apabila caj PSC antarabangsa diturunkan daripada RM35 kepada RM25 pada 2006, jumlah penumpang AirAsia meningkat sebanyak 50.2%, iaitu pertambahan seramai 4.68 juta penumpang. Pada tahun-tahun sebelumnya, pertumbuhan penumpang AirAsia hanya di sekitar 20%-40% saja setahun.

Ini secara langsung menunjukkan caj PSC memberi impak yang sangat besar kepada jumlah kedatangan pengunjung ke KLIA2.

Malahan sekarang pun, lapangan terbang Don Mueng di Thailand sudah pun berjaya mengatasi KLIA2 sebagai terminal tambang rendah terbesar di dunia. Bayangkan berapa banyak penyusutan jumlah pengunjung ke KLIA2 yang bakal dihadapi pada tahun 2018 nanti apabila kenaikan caj PSC dilaksanakan.

4. Peningkatan kos bagi peniaga kecil

Peniaga kecil yang terbang ke luar negara untuk mendapatkan stok barang di Vietnam, Indonesia dan China turut bakal terkesan dengan kenaikan ini. Kos penerbangan mereka bertambah setiap kali perlu ke luar negara atas urusan perniagaan, sekaligus memberi impak kepada kos operasi.

klia2-4

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa majoriti pengguna penerbangan tambang murah adalah golongan kelas pertengahan ke bawah. Kami mungkin tak kaya, tapi kamilah penggerak ekonomi dan kitaran pusingan wang, serta yang paling ramai menggunakan KLIA2.

Sebagai pengguna penerbangan tambang murah, kenaikan caj PSC ini sememangnya tidak wajar. Kami tidak mahu bermewah, tapi mahu berjimat, bayar apa yang kami perlu saja. Kami mahu tambang murah.

Jika direnung kembali ke belakang, tujuan asal pembukaan KLIA2 adalah untuk menjadikannya  sebagai ‘hab penerbangan tambang rendah terbesar di rantau Asia’. Tapi  nampaknya ia tidak lagi relevan pada tahun depan.

Jika MAVCOM tidak prihatin dengan golongan seperti kami, adakah golongan di kelas atasan akan membantu KLIA2? Mereka ada duit, boleh naik kapal terbang tambang mahal di KLIA. Buat apa nak pandang KLIA2 lagi?

Sudah ramai yang menyuarakan pandangan dan membantah keputusan untuk menaikkan caj ini tapi nampaknya tiada respon positif setakat ini di pihak kerajaan mahupun MAVCOM.

Maka ikhtiar terakhir di penghujung tahun ini adalah dengan menyertai PETISYEN MEMBANTAH KENAIKAN CAJ PSC DI KLIA2. Saya menyeru kepada anda pembaca Vocket untuk menyertai petisyen bantahan ini.

Terima kasih.
Ida Latif
Editor Travel, TheVocket.com