Lapan penantian melibatkan mangsa serta ibu bapanya, hari ini menjadi saksi apabila Mahkamah Persekutuan memerintahkan lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) di Terengganu bersama tiga pihak lain membayar ganti rugi lebih RM600,000 kepada mangsa yang mengalami kecacatan kekal.

Panel tiga hakim iaitu Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara memutuskan bahawa sembilan pihak berkenaan bertanggungjawab dan cuai ke atas plaintif yang juga bekas pelajar sekolah sama yang kini berusia 22 tahun.

Selain lima bekas pelajar senior yang ketika ini berusia 25 tahun, empat pihak lain adalah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Sulaiman Ngarif; bekas Pengetua, Meriam Jusoh; Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan Malaysia masing-masing selaku defendan keenam hingga kesembilan.

Ia susulan kejadian pukul, buli dan serangan yang berlaku di bilik asrama ketua pengawas SESMA pada 26 April 2015 yang mana ketika itu plaintif berusia 14 tahun.

Mangsa memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu melalui bapanya terhadap sembilan defendan itu menerusi Peguamcara Tetuan WA Wan Adnan & Associates.

Berdasarkan tuntutan itu, mangsa mendakwa dipukul, dibuli dan diserang lima pelajar senior sehingga mengakibatkan gegendang telinga kanannya pecah serta mengalami kecacatan kekal dan hilang pendengaran.

Plaintif juga mengalami trauma teruk dan tekanan perasaan sehingga memaksanya menjalani rawatan psikiatri.

Pada 29 September 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mendapati semua defendan bertanggungjawab atas kecederaan itu dan membenarkan semua tuntutan ganti rugi termasuk ganti rugi am kecederaan, khas dan teladan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Mei 2022 sebulat suara mengetepikan keseluruhan keputusan itu dan memutuskan plaintif gagal membuktikan liabiliti lima defendan itu telah memukul, membuli dan menyerangnya.

Semua hakim Mahkamah Rayuan itu juga menetapkan bahawa defendan keenam dan ketujuh termasuk warden dan pengetua tidak cuai dalam menjalankan tugas terhadap pelajar.

Susulan itu, defendan kelapan dan kesembilan tidak dipertanggungjawabkan atas tuntutan plaintif.

Dalam kes itu, plaintif diwakili peguam Wan Azliana Wan Adnan dan Hisyam Yusof.

Akibat dipukul, ditendang dan ditampar oleh pelajar senior dalam kejadian buli itu, mangsa kehilangan pendengaran sebelah kanan kerana gegendang telinga pecah menyebabkannya tidak boleh melakukan aktiviti air seumur hidup, selain mengalami beberapa kecederaan lain.

Malah, plaintif yang juga pelajar pintar dan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pada 2013 turut mengalami tekanan perasaan dan trauma sehingga terpaksa bertukar ke sekolah lain pada Julai 2015.