‘Jangan mula, kalau tidak susah nak berhenti’, itulah kata-kata yang sering kedengaran apabila bercakap tentang hasrat untuk mula menonton drama Korea atau lebih dikenali sebagai K-drama.

Pelbagai genre menarik dapat disaksikan sehingga membuatkan para peminat tidak sabar untuk menunggu episod baharu saban minggu.

Baca Juga:

Genre sukan juga tidak terkecuali berjaya minat penonton dengan kisah yang boleh dijadikan aspirasi walaupun ia hanyalah sekadar hiburan.

Berikut merupakan lima K-drama bergenre sukan yang menarik serta boleh anda pertimbangkan untuk ditonton:

1) Racket Boys – 2021

Buat anda yang meminati sukan badminton, ia memang sangat sesuai untuk ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Drama 16 episod ini menceritakan tentang kepayahan seorang jurulatih (Yoon Hyeon-Jong) dalam melatih pasukan badminton sekolah yang berada di kawasan pendalaman, Haenam.

Kredit Foto: SBS

Pelbagai dugaan dihadapi oleh Hyeon-Jong dan barisan pemainnya dalam usaha untuk mengembalikan reputasi Sekolah Menengah Haenam Seo sebagai antara kuasa besar badminton di sana.

Selain itu, Racket Boys turut mengetengahkan elemen persahabatan, kekeluargaan, keharmonian dan kesungguhan mengejar impian menyerlahkan lagi ‘aura’ karya arahan Jung Bo-Hoon ini.

Racket Boys turut menjadikan barisan pelakon remaja sebagai watak utama dalam drama ini.

2) Hot Stove League – 2019

Drama ini pula mengisahkan tentang Baek Seung-Soo lakonan Namkoong Min yang dilantik sebagai Pengurus Besar sebuah kelab besbol, Dreams.

Tugasan berat menanti Seung-soo kerana Dreams dibelenggu pelbagai masalah susulan berada di tangga terbawah buat empat musim berturut-turut.

Kredit Foto: Oppa Noona

Malah, beliau juga pada mulanya tidak begitui arif dengan sukan tersebut kerana sebelum ini bergelar pengurus besar dalam sukan bola baling dan gusti.

Dalam usahanya untuk mengubah keadaan di pejabat kelab tersebut, setiap keputusan yang dibuat beliau sering kali mendapat kritikan.

3) Fight For My Way – 2017

Menceritakan tentang Ko Dong-Man yang bercita-cita untuk menjadi atlet Taekwando Korea Selatan tetapi tidak menjadi kenyataan.

Cintanya pada teakwando itu beralih kepada seni mempertahankan diri campuran (MMA) selepas mendapat bimbingan daripada seorang rakannya yang juga merupakan jurulatih MMA.

Kredit Foto: KBS2

Ternyata karier baharu yang dipilih oleh Dong-Man itu bukan satu perjalanan yang mudah.

Watak Dong-Man yang dimainkan oleh pelakon terkenal, Park Seo-Jun itu menghadapi banyak halangan dalam perjalanan untuk mencapai impiannya.

4) Love All Play – 2022

Drama ini pula sesuai buat anda yang meminati sukan dan diselitkan dengan kisah konflik percintaan antara keluarga.

Mengisahkan tentang Park Tae-Yang dan Park Tae-Joon (bukan adik beradik) yang merupakan pemain bagi kelab badminton Yunis.

Kredit Foto: KBS

Secara kebetulan oleh kerana mempunyai nama keluarga yang sama, mereka digelar ‘kembar Park’ dan digandingkan bersama-sama dalam acara beregu campuran.

Selain daripada kegigihan dan suka-duka untuk menggapai impian, ia turut menerbitkan bibit cinta antara mereka.

Namun, cinta mereka terhalang kerana satu kesilapan yang pernah dilakukan oleh Tae-Yang terhadap kakak Tae-Joon sewaktu berada di kem badminton Korea Selatan.

5) Twenty Five, Twenty One – 2022

k-drama
Kredit Foto: tvN

K-drama menarik mengenai anak bekas atlet lawan pedang terkenal Korea Selatan, Na Hee Do yang mengetahui rahsia tentang perjalanan hidup ibunya selepas membaca sebuah diari.

Semakin banyak perkara terungkai, membuatkan si anak begitu bersemangat untuk mengetahui lebih lagi mengenai kisah silam ibunya.

Selain bergelar atlet yang cukup berjaya, Hee Do turut diulit kenangan bersama jejaka pujaan hatinya, Baek Yi Jin.