Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan seramai 5,272 belia berusia 34 tahun ke bawah diisytiharkan muflis sejak 2020 hingga tahun ini.
Memetik Harian Metro, daripada jumlah itu, 5,189 orang adalah belia berumur 25 hingga 34 tahun dan 83 belia berumur di bawah 25 tahun.
Baca Juga:
- ‘Mampu Takat Myvi Tapi Pergi Angkat Vios’ – Ramai Kakitangan Awam Bankrap Sebab Nak Nampak T20
- Diisytihar Bankrap, Semua Cawangan KFC Di Turkiye Ditutup
- Gagal Bayar Hutang Sejak 2017, MARA Fail Bankrap Terhadap Che Ta, Anak Sulungnya
“Trend kebankrapan dalam kalangan belia menunjukkan peningkatan, pada 2024 terdapat 877 kes meningkat sebanyak 150 kes berbanding 727 pada tahun sebelumnya.
“Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, punca utama kes kebankrapan pada 2024 membabitkan pinjaman peribadi yang menyumbang sebanyak 2,776 kes atau 46.4 peratus daripada keseluruhan 5,977 kes kebankrapan iaitu hampir 50 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Tambahnya lagi, faktor lain yang menyumbang kepada kebankrapan termasuk pinjaman perniagaan iaitu sebanyak 1,148 kes, pinjaman perumahan sebanyak 474 kes dan keberhutangan yang lain membabitkan 463 kes.
Antara faktor lain ialah sewa beli kenderaan membabitkan 444 kes, penjamin korporat 383 kes, hutang cukai pendapatan 110 kes, hutang kad kredit membabitkan 89 kes, kegagalan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 77 kes, serta biasiswa, pinjaman pelajaran sebanyak sembilan kes dan empat kes disebabkan oleh menjadi penjamin sosial.
Hannah berkata sedemikian bagi menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew yang ingin tahu jumlah belia berusia 35 tahun ke bawah yang diisytiharkan bankrap setakat 2025, serta apakah punca utama yang menyebabkan berlakunya masalah berkenaan.