Tinjauan Belia Nasional 2024 yang baru sahaja dikeluarkan oleh firma penyelidikan, Merdeka Center menunjukkan beberapa laporan menarik tentang pandangan dan cabaran anak muda Malaysia yang berumur antara 18 hingga 30 tahun terutamanya mereka yang datang dari bangsa Cina dan India.
Salah satu laporan yang mencuri perhatian dalam tinjauan ini adalah pandangan belia mengenai identiti budaya dan kemajuan sosial.
84% responden berpendapat bahawa mereka mempunyai kualiti hidup yang baik, sementara hanya 15% belia Malaysia yang merasakan kualiti hidup mereka tidak memuaskan.
Bagaimanapun, responden yang menyatakan kualiti hidup mereka kurang memuaskan datang daripada komuniti India dan Bumiputera.
Dari sudut lain, 47% responden menyatakan bahawa mereka lebih baik daripada ibu bapa mereka dari segi taraf hidup, 35% merasakan situasi mereka sama sahaja, dan 14% mengatakan bahawa mereka berada dalam situasi yang lebih buruk berbanding ibu bapa mereka.
Dalam aspek kewangan peribadi pula, 38% merasakan mereka lebih baik, 30% sama, dan 26% merasakan lebih buruk daripada ibu bapa mereka.
Merdeka Center juga menjalankan tinjauan khusus tentang isu diskriminasi.
Sebanyak 58% daripada responden berbangsa Cina dan India berpendapat bahawa komuniti mereka tidak dilayan secara adil oleh kerajaan dan sering menghadapi diskriminasi di Malaysia.
Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding tinjauan 2023, di mana hanya 43% yang menyatakan perkara yang sama.
Lebih terperinci, 62% daripada responden India merasakan mereka tidak dilayan dengan adil di Malaysia, manakala 57% daripada responden Cina mempunyai pandangan yang serupa.
Merdeka Center juga melaporkan bahawa jumlah responden Cina dan India yang merasakan mereka dilayan secara adil menurun daripada 46% pada 2023 kepada hanya 37% pada tahun ini.
Kajian ini dilakukan melalui wawancara melibatkan 1,605 responden berumur 18 hingga 30 tahun, yang dipilih secara rawak mengikut etnik, jantina, umur, dan negeri.
Dapatan ini memberikan gambaran mendalam mengenai bagaimana belia Cina dan India di Malaysia melihat masa depan mereka dalam konteks budaya, sosial, dan politik negara.
Selain isu diskriminasi, laporan tinjauan ini menunjukkan bahawa kebanyakan belia Malaysia masih optimis dengan kualiti hidup mereka.
Namun, realiti yang dihadapi oleh komuniti Cina dan India menunjukkan jurang yang semakin ketara dalam cara mereka menilai layanan kerajaan terhadap mereka.