Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASIL) memaklumkan pihaknya telah bekerjasama dengan lebih 100 negara melalui pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa untuk mengenal pasti potensi ketidakpatuhan, terutamanya pendapatan dan aset di luar negara.
Menerusi satu kenyataan rasmi baru-baru ini, HASIL telah mengenal pasti seramai 14,858 orang pemastautin cukai Malaysia dengan jumlah keseluruhan baki akaun kewangan luar negara melebihi RM10 bilion, namun tidak mengemukakan pelaporan cukai melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).
Baca Juga:
- ‘Hanya Scam?’ — Expat AS Dakwa Sekolah Memandu Malaysia Guna Kereta Uzur & Pengajar Tidak Profesional

- Ingin Bina Semikonduktor Generasi Baharu, Indonesia Intai Kepakaran Malaysia

- Adakah Malaysia Tersenarai? Ini 10 Negara Miliki Hutang IMF Paling Kritikal 2026

Akaun kewangan luar negara dengan baki yang signifikan berkenaan melibatkan beberapa negara seperti Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda.
“Sehubungan dengan itu, HASIL telah menghantar peringatan kepada pemastautin cukai berkenaan sebagai pendekatan galakan pematuhan secara sukarela (nudging).
“Di samping memberi ruang untuk membuat semakan dan pengisytiharan pendapatan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
“Pemastautin cukai Malaysia yang mempunyai pendapatan belum dilaporkan dan mempunyai akaun kewangan luar negara daripada sumber pendapatan yang sepatutnya dikenakan cukai di Malaysia digalakkan untuk tampil secara sukarela dalam tempoh terdekat bagi membuat pelaporan dan pematuhan yang sewajarnya, sekali gus mengelakkan penalti serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967,” kata HASIL.