Pada hari semalam 7-Eleven Malaysia telah melancarkan koleksi eksklusif Hot Wheels Silver Series 7-Eleven model Nissan GT-R R35 di Malaysia.
Menerusi hantaran media sosial, didapati orang ramai mula beratur memenuhi CAFĂ© by 7-Eleven, Damansara Uptown sebelum jualan rasmi bermula jam 11.00 pagi.
Dijual pada harga RM19.90, 7-Eleven memberikan 100 pembeli terawal untuk membawa pulang hadiah saguhati eksklusif, malah mereka turut menerima mata ganjaran bonus menerusi aplikasi My7E.
Menurut 7-Eleven Malaysia, kesemua Hot Wheels Silver Series 7-Eleven itu habis terjual semasa hari pelancaran. Sementara seluruh cawangan 7-Eleven terpilih bakal mula menjualnya bermula 20 Julai 2026 nanti.
Scalper Jual Semula Hot Wheels 7-Eleven Berlipat Kali Ganda
Bagaimanapun, didapati ada pembeli terawal sudah pun mula menjual semula lebih tinggi daripada harga asal.
Secara purata, ramai menjualnya pada harga antara RM40 hingga RM70. Namun ada 5 unit sekaligus dan menjual semula setinggi RM70 seunit.
Model edisi khas 2017 Nissan GT-R (R35) ini hadir dengan rekaan grafik eksklusif berinspirasikan identiti jenama 7-Eleven.
Kereta koleksi ini bakal dipasarkan di lebih 2,700 cawangan 7-Eleven di seluruh Semenanjung Malaysia, manakala pengedarannya ke Sabah dan Sarawak dijangka menyusul pada penghujung bulan ini.
Keunikan model ini terletak pada sentuhan livery khas oleh pereka grafik Hot Wheels dari Indonesia, Anton Henggono, yang menyatukan warna korporat 7-Eleven dengan elemen perlumbaan Jepun klasik serta budaya Japanese Domestic Market (JDM).
Lebih istimewa, ia mengekalkan acuan asal hasil lakaran mendiang Ryu Asada, pereka legenda Hot Wheels yang bertanggungjawab menghidupkan model GT-R (R35) dalam bentuk diecast.