Apabila berlakunya insiden buli, kebiasannya masyarakat akan menyalahkan ibu bapa pembuli kerana tidak mendidik anak mereka sebaik mungkin.
Namun ada betulnya juga kerana ramai tidak menyedari jika kalau persekitaran pembesaran boleh membentuk anak masing-masing secara tidak langsung.
Seorang coach parenting bernama Mohd Fhais Salim berkongsi bahawa kitaran pembuli dan mangsa buli semuanya bermula dari rumah lagi.

Malah, beliau yakin hampir 99% masalah buli berpunca datang daripada gaya keibubapaan yang bermasalah di rumah.
Sebagai rujukan, kajian oleh Salimynezhad et al. (2015) mendapati bahawa gaya keibubapaan autoritarian dan autoritatif memberi kesan yang signifikan terhadap perkembangan kecerdasan emosi remaja.
Gaya keibubapaan autoritarian, yang dicirikan oleh kawalan yang tinggi dan kasih sayang yang rendah, boleh menyebabkan anak-anak mengalami masalah dalam mengurus emosi mereka, yang seterusnya boleh mendorong kepada tingkah laku agresif seperti buli.
Memandangkan sudah lama berkecimpung di dalam bidang keibubapaan, beliau berkongsi tujuh tanda gaya parenting yang membuli anak tanpa disedari oleh masyarakat kita.
Gaya parenting yang membuli anak tanpa disedari
1. Apabila melihat anak melakukan kesilapan, ibu bapa terus memarahi mereka tanpa memberi didikan atau nasihat. Kebiasaannya ibu bapa hanya berbuat sedemikian dek kerana nafsu amarah semata-mata.
2. Lebih banyak marah kepada anak berbanding memberi didikan. Ada ibu bapa berfikiran dengan marah atau pukul secara fizikal itu lah dianggap sebagai didikan sebenar.
3.Tak pernah cuba mendengar dan memahami anak, tetapi seboleh-bolehnya nak anak dengar dan fahami ibu bapa sahaja.
4. Gemar paksa, ugut, tengking & kawal anak seumpama anak tidak mempunyai perasaan bak robot pula.
5. Lebih suka mengarah dan mengerah anak di dalam kehidupan seharian namun jarang sekali mengucap terima kasih, sebut tolong mahupun dan tunjuk teladan baik.
6. Meletakkan semua masalah, isu, kesesusahan, kepenatan dan serabut di kepalanya pada anak-anak. Paling pembuli di mana kesemua kesalahan didakwa berpunca daripada anak yang dilahirkan itu.
7. Akhir sekali, ibu bapa bersikap kasar dan keras gaya bercakap dengan anak yang mana memperlihatkan ketiadaan sifat hormat, sopan santun dan kasih sayang sama sekali.
Secara keseluruhan, gaya keibubapaan yang tidak sesuai dan persekitaran keluarga yang negatif boleh menjadi punca kepada tingkah laku buli dalam kalangan anak-anak.
Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk mengamalkan gaya keibubapaan yang seimbang, yang menggabungkan kasih sayang dan ketegasan, serta mewujudkan persekitaran keluarga yang positif untuk mengurangkan risiko anak-anak terlibat dalam tingkah laku buli.
Apatah lagi apabila kita sering mendengar peribahasa yang menegaskan pendidikan di rumah sangatlah penting dalam membentuk tingkah laku seseorang anak iaitu melentur buluh biarlah dari rebung.
Jadi Buddy, Bukan Buli merupakan satu kempen khas oleh The Vocket untuk sama-sama menangani kes buli di samping menyediakan satu platform selamat untuk mangsa buli berkongsi luahan tanpa identiti didedahkan.
Layari www.thevocket.com/jadibuddybukanbuli untuk berkongsi luahan atau membaca perkongsian daripada pakar.