Bila sebut buli, kita sering membayangkan ia hanya berlaku di dalam dunia persekolahan atau pun pekerjaan sahaja. Tetapi realitinya ramai yang tidak sedar kewujudan perbuatan buli turut berlaku di dalam rumah tangga.
Anda mungkin membayangkan buli di dalam perkahwinan hanya berlaku dalam bentuk kekasaran fizikal antara suami terhadap isteri semata-mata. Bagaimanapun, ia sebenarnya lebih dari itu dan menjadi kebiasaan buat para suami melakukan buli tanpa disedari di dalam masyarakat kita.

Perkara ini dibahaskan oleh seorang peguam syarie perundangan Islam menerusi akaun Facebook miliknya demi memberi kesedaran tentang kewujudan buli dalam perkahwinan yang terjadi di dalam kehidupan seharian.
Apakah buli dalam perkahwinan?

Buli dalam perkahwinan merujuk kepada perlakuan yang bersifat menindas, mengawal, atau menyakiti pasangan secara fizikal, emosi, psikologi, seksual atau kewangan.
Bahkan, ia boleh berlaku secara berterusan atau dalam bentuk corak tertentu yang menyebabkan pasangan berasa takut, tertekan, atau kehilangan keserasian dalam perhubungan.
Contoh buli dalam perkahwinan
Antara contoh buli dalam tempoh perkahwinan adalah mengarahkan isteri buat kerja rumah sementara suami pula melepak bersama kawan-kawan sehingga lewat pagi.
Selain itu, ada segelintir suami yang sengaja tidak memberi kebenaran kepada isteri untuk pulang melawat ibu bapa meskipun sedang sakit. Lebih teruk lagi, dia menggelarkan isterinya nusyuz jika berkeras pulang ke pangkuan ibu bapa mertua.
Ada yang turut mengugut cerai jika bertanyakan tentang nafkah diri atau gertak akan bawa lari anak jika kerap meminta hutang dikembalikan. Selain itu, mereka juga memainkan sentimen tidak bau syurga susulan tidak bersetuju dengan berpoligami.
Selain secara fizikal atau mental, si suami turut membuli secara kewangan seperti mengawal sepenuhnya sumber kewangan, tidak membenarkan isteri bekerja serta hanya memberikan wang dengan jumlah terhad untuk membeli barang rumah.
Contoh buli lepas cerai
Menurut peguam berkenaan, hal ini lagilah banyak terjadi cuma majoritinya berkaitan dengan anak selepas berlaku sesuatu penceraian.
Misalnya, kalau bekas isteri buat tuntutan Mutaah, si suami akan ambil hak jagaan sebab bekas isteri tidak bekerja.
Jika kalau mahu menuntur nafkah, bekas suami juga akan mengambil hak jagaan sebab bekas isteri mahu kahwin lain.
Tidak sekadar mengambil hak penjagaan, malah ada yang menggugut akan memalukan bekas isteri tentang perilaku dan kesilapan semasa dalam tempoh perkahwinan kepada semua kenalan dan keluarga.
Kadang-kala, si suami sedia membuka aib kepada orang ramai walaupun ceritanya mungkin fitnah dan dusta semata-mata.
Inilah realiti perlakuan buli yang biasa terjadi di dalam masyarakat kita dan hanya didengari selepas diceritakan oleh mereka yang berada di dalam bidang tertentu.
Buli dalam perkahwinan sering menyebabkan kesan serius terhadap kesejahteraan mental dan fizikal mangsa.
Bagaimana nak atasi pembuli?
Menurut peguam lagi, gejala buli hanya boleh diatasi jika mangsa ada keberanian dan ilmu di dalam dirinya.
Dengan ada ilmu pertahan diri, mangsa boleh mengelakkan diri dari dicederakan oleh si suami. Jika mempunyai ilmu pula, seseorang wanita semestinya boleh mengenal pasti apakah haknya dalam tempoh perkahwinan di sisi undang-undang sekaligus tahu cara mengatasi dibuli si suami.
Paling utama sekali, dapatkan bantuan dari pihak berwajib seperti kaunselor, pihak berkuasa, atau NGO yang membantu mangsa keganasan rumah tangga.
Bersempena kempen #jadibuddybukanbuli yang dijalankan oleh pasukan The Vocket pada bulan Februari ini, kami bakal berkongsi video dan artikel berkaitan isu buli dalam memberi kesedaran kepada masyarakat. #JadiBuddyBukanBuli #KawanBukanLawan