Selama 3 tahun Kina menetap di Korea, ada banyak perkara yang Kina pelajari mengenai orang-orang di sini; ada nilai-nilai yang baik, tapi ada juga yang tak baik. Tapi yang tak baik tu janganlah ditiru, kita ambil yang baik saja. Jadi di sini Kina senaraikan antara nilai-nilai murni orang Korea yang Kina rasa kita boleh contohi:

1.  Tak memilih kerja

Jika anda ke Korea, perhatikan stesen-stesen minyak dan lihat pekerja-pekerja di situ, 100% adalah pekerja orang Korea. Tukang cuci, construction worker, tukang kebun,  semuanya warga Korea.

Sangat susah untuk jumpa pekerja warganegara luar. Graduan di Korea pula sebaik habis belajar, mereka capai apa yang ada di depan mata. Ramai yang bekerja di 7 Eleven, Guesthouse, Hotel, Canteen dan lain-lain pekerjaan sementara.

2. Patriotik

Rakyat Korea sangat sayangkan negara sendiri. Oleh itu mereka sangat menyokong produk-produk tempatan. Jika anda melawat Korea, anda akan lihat hampir semua barangan di sini adalah ‘Made in Korea’.

Lihat di jalan raya, 99% kereta di jalan raya adalah kereta-kereta Korea seperti Hyundai, Kia, SsangYong, dan Samsung. Boleh dibilang dengan jari je berapa banyak kereta luar yang ada. Mereka sangat bangga menggunakan produk tempatan.

Baca: Lihat Orang Bunuh Diri Depan Mata Sewaktu Belajar Di Korea Buat Aku Berfikir Tentang Ini

3. Kreatif dalam memperkenalkan negara

Korea memperkenalkan negara mereka kepada dunia melalui drama, rancangan realiti dan lagu-lagu K-pop. Secara tidak langsung mereka berjaya menaikkan industri pelancongan negara mereka.

4. Menjaga pemakanan

Kebanyakan makanan di Korea di masak tidak terlalu berminyak dan tidak banyak gula. Begitu juga dengan minuman teh, mereka minum tanpa gula. Sayur-sayuran juga lebih banyak berbanding daging.

Sebagai contoh jika anda makan nasi dan ikan bakar, mereka akan sediakan 4-5 jenis sayur-sayuran sebagai hidangan sampingan. Sebab itu majoriti rakyat Korea semuanya sihat-sihat dan panjang umur.

5. Tidak mengharapkan bantuan

Percaya atau tak,  sangat ramai orang Korea yang hidup miskin tapi mereka bekerja keras dan tidak mengharap belas kasihan orang lain. Saya pernah berniat untuk sedekah kepada peniaga duduk di jalanan, umurnya sangat tua tapi wang tersebut dibaling kepada saya semula.

Pelajar-pelajar universiti pula tidak diberikan bantuan kewangan dari kerajaan. Semuanya menggunakan duit sendiri, sebab itulah ramai pelajar universiti di Korea melakukan kerja sambilan seperti menjadi private tutor, bekerja di 7E, menjaga pam minyak dll.

6.  Menghormati guru dan tenaga pengajar

Di sini, darjat guru dan pensyarah sangat tinggi. Masyarakat sangat menghormati mereka. Pada mereka, guru adalah kunci kejayaan bangsa Korea. Segalanya bermula daripada guru-guru yang mendidik.

7. Tidak menceritakan yang buruk tentang negara sendiri

Bila ditanya tentang Korea, pasti jawapannya yang baik-baik saja. Mereka takkan memalukan negara sendiri dengan menghebahkan perkara yang buruk.

Semoga nila-nilai murni ini dapat kita jadikan contoh dan praktikkan di Malaysia.

Baca lagi: Anak Malaysia Berjaya Lakukan Pameran Lukisan Solo Pertama Di Jeju, Korea Selatan