Tujuh pemain yang sebelum ini digantung selama 12 bulan kerana kes pemalsuan dokumen berkaitan status warisan tidak akan dapat kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas tempoh hukuman mereka berakhir hujung bulan ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan perkara itu selepas Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM – menurut laporan Berita Harian.
Menurut beliau, tamatnya tempoh penggantungan tidak bermakna ketujuh-tujuh pemain berkenaan boleh kembali mewakili Malaysia kerana FIFA tidak membenarkan mereka beraksi untuk skuad kebangsaan.
“Tidak boleh. Pemain-pemain tersebut tak boleh mewakili negara. Pasal FIFA tak benarkan, FIFA tak benarkan,” katanya ringkas ketika ditemui media.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Mereka sebelum ini dikenakan penggantungan selama 12 bulan susulan kes membabitkan dokumen keturunan yang menjadi asas kepada kelayakan mereka untuk mewakili Malaysia.
Tempoh hukuman itu dijangka tamat pada penghujung Oktober ini, namun pengesahan terbaru FAM bermakna mereka tidak akan kembali ke skuad Harimau Malaya selepas menjalani hukuman tersebut.
Isu berkenaan turut berkait dengan status kewarganegaraan dan pasport ketujuh-tujuh pemain terbabit.
Ab Ghani sebelum ini menjelaskan bahawa urusan kewarganegaraan serta pengeluaran pasport bukan berada di bawah bidang kuasa FAM.
FAM bagaimanapun akan mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya berhubung status pasport pemain-pemain berkenaan.
“Perkara berkaitan kewarganegaraan dan pengeluaran pasport adalah di luar bidang kuasa FAM.
“Jadi, kami semua akan mendapatkan penjelasan dan kerjasama rapat dengan KDN bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, FIFA sebelum ini turut mengenakan hukuman berat terhadap FAM berhubung kes tersebut, termasuk pembatalan keputusan beberapa perlawanan antarabangsa yang membabitkan tujuh pemain berkenaan.