Nota Editor: Perkongsian beliau pernah disiarkan di Vocket sebelum ini. Kini Arif Afifi Mohamad Sukri berkongsi  7 langkah bagaimana untuk bersenam dengan cara yang mudah sewaktu anda masih lagi mempunyai berat badan dalam kategori obes. Untuk pengetahuan Arif pernah berkongsi tip turunkan berat badan selepas beliau berjaya menurunkan berat sebanyak 40kg dalam masa 3 bulan tanpa pil kurus.

Senaman Dalam Gaya Obesiti. Santai Dan Mudah

Sebagaimana yang pernah saya janjikan sebelum ini, saya akan berkongsi bagaimana senaman yang paling mudah dan efektif yang telah saya lakukan sepanjang proses diet.

Saya berharap mereka yang membaca ini bukan dari mereka yang acah-acah. Tapi pada mereka yang benar-benar bersungguh dan nak tahu cara senaman gaya obes.

Mudah, senang dan tiada paksaan.

Ya, apa jua senaman yang dilakukan, anda tidak boleh memaksa orang lain untuk bersenam. Ia datang dari keinginan dan kemahuan diri sendiri.

Ramai yang bertanya kepada saya, bagaimana senaman yang paling berkesan untuk mengurangkan berat badan? Dan ada yang bertanya bagaimana kami yang bekerjaya dan tidak ada masa untuk bersenam?

Tujuan senaman adalah meningkatkan tenaga untuk melakukan tugasan harian, mengawal tekanan darah, menguatkan jantung dan banyak lagi.

Secara ringkas, senaman akan melengkapkan hidup anda untuk terus bergerak aktif dan tidak pasif tersembam di bilik. Senaman mampu membakar kalori namun banyak aktiviti yang BUKAN SENAMAN juga membakar kalori.

Anda harus tahu itu!

senaman-kuruskan-badan-1

Saya akan kongsikan tip ringkas gaya senaman bagi mereka yang mempunyai masalah berat badan dengan cara paling santai dan ringkas.

1. BUKAN HARI-HARI. Saya tidak bersenam hari-hari. 7 days in a week? Tidak. 5 kali seminggu? Bukan. Percayakah anda, saya hanya melakukan senaman apabila saya mahu untuk lakukan senaman.

Saya memilih 3-4 kali sahaja seminggu untuk lakukan senaman. Jangan ikut jadual senaman daripada ikon, coach ataupun saya sendiri. Pilih dan sesuaikan jadual senaman dengan waktu yang anda ada.

Bukan semua orang ada masa lapang sepanjang minggu bukan? Secara mudah, dalam masa seminggu cuba ambil masa 2-3 kali untuk bersenam. Itu sudah memadai.

2. JANGAN SIBUK MEMILIH PAKAIAN. Ini antara masalah yang ada pada sebahagian daripada kita. Acah-acah dan terlalu sibuk dalam faktor pemilihan pakaian yang sesuai untuk bersenam. Saya TIDAK pernah mewajibkan perlu pakai baju jersey, kasut sukan yang mahal dan cap yang nampak cool.

Anda tidak perlu semua itu. Pakaian hanyalah sampingan bagi saya. Pakai saja pakaian yang anda rasa paling selesa dan sesuai untuk bersenam. Saya ulang yang SESUAI untuk bersenam.

Harap faham. Itu pakaian kita. Kita suka dan selesa dengan pakaian itu. Pakai saja, aku yang pakai dah kau panas kenape?

3. TEMPAT BERSENAM. Jujurnya saya sangat malu untuk bersenam di khalayak ramai ketika obes dulu. Mana tidaknya, baru mula berjoging dan berjalan kita sangka semua orang pandang kita. Ada saja yang tak kena walau hakikat semuanya dah kena.

Ini kerana confident level bagi mereka yang obes tersangatlah rendah. Saya faham, itu perkara biasa. Jesteru apa yang saya lakukan pada permulaan. Pilih tempat senaman yang tak ramai orang kenal. Contoh, saya dari Taman A. tetapi saya bersenam di Taman B.

Harus ingat! Jika kaedah ini terus anda lakukan dan lakukan. Sampai bila anda nak naikkan keyakinan diri sendiri? Setiap hari perlu ke taman orang untuk bersenam? Jangan.

Seperti saya maklum, orang akan mencemuh, orang akan mengata dan sindir. Mahu tidak mahu pekakkan telinga butakan mata dan tegarkan hati. Ini tentang kesihatan kita, ia tentang berat badan kita.

Seharusnya kita lebih peduli daripada mereka. Bukan terasa dengan cemuhannya. Keep it up guys!

senaman-kuruskan-badan-3

Inilah saya satu ketika dulu. Comelkan? Tapi saya sendiri rasa susah nak beribadat kerana berat badan yang saya miliki pada ketika itu.

4. SENAMAN PALING RINGKAS. Jangan lakukan senaman dengan terus berjoging dan senaman ‘high intensy’ dengan cara mendadak dan terkejut.

Mulakan senaman anda dengan gaya paling santai, dan tidak terlalu membebankan badan anda yang obes dengan berjalan kaki.

Ya, berjalan kaki dalam tempoh 15-20 minit antara senaman ringkas yang pernah saya amalkan. Berjalan kaki tidak memenatkan dan kebanyakan dari kita mampu lakukan.

Ke mana harus kaki itu melangkah? Berjalanlah ke tempat-tempat yang anda sangat senang dan nikmati. Sesiapa yang suka berjalan di taman berjalanlah di taman. Sesiapa yang sangat senang berjalan di pasaraya berjalanlah di sana.

Pokok pangkalnya, berjalanlah ke tempat-tempat yang sangat anda senang. Berjalan kaki tak perlu syarat untuk pakai pakaian sukan. Pakai sandal dan dan berkain pelikat sekalipun tidak akan menjejaskan aktiviti berjalan kaki ini.

Anda boleh berjalan kaki sambil tengok henset, sambil dengar walkman. Kaedah ini saya lakukan dan sangat saya nikmati.

Cabaran lain ia berbalik kepada kemahuan anda sendiri. Mahu atau tidak. SOAL pada kemahuan dan keazaman masing-masing.

Ternyata berjalan kaki adalah usaha membakar kalori yang sangat santai tapi berkesan.

senaman-kuruskan-badan-2

5. JOGING DAN BERSUKAN. Sekiranya badan anda mampu untuk buat senaman dan aktiviti yang sedikit berat berbanding hanya berjalan kaki. Silakan.

Joging antara aktiviti yang sedikit memenatkan bagi mereka yang baru mula berjoging. Tetapi senaman ini lama kelamaan mampu meningkatkan stamina badan anda!

Saya berjoging dalam tempoh 4 minit sahaja pada permulaannya. Cukup 4 minit berhenti. Jangan paksa untuk joging selama mereka yang sudah terbiasa berjoging lama. Ini akan buat anda cedera! Biasa-biasa saja, penat berhenti. Ada tenaga sambunglah kembali.

Lama kelamaan tingkatkan masa berjoging, dari 4 minit kepada 6, 6 minit kepada 8. Dan begitulah seterusnya.

Bersukan dengan bermain badminton, bola sepak atau apa saja sukan yang anda gemari juga sebahagian daripada senaman yang baik.

Apa yang penting anda enjoy dengan apa jua aktiviti. Bukan selamanya dengan berjoging.

6. TIDAK ADA MASA BERSENAM. Persoalan ini sering diajukan oleh mereka yang sudah bekerjaya dan mempunyai masa yang terhad untuk senaman.

Nasihat saya, lakukan apa jua pergerakan atau aktiviti yang banyak menggerakkan badan anda.

Banyakkan turun naik tangga, lebihkan berjalan untuk ke sesuatu tempat dan sentiasa aktifkan diri.

Gaya hidup yang aktif akan membantu dalam pembakaran kalori di dalam badan. Cuba hidup aktif dan jangan hanya bersenang lenang di kerusi meja kerja dan menikmati penghawa dingin.

Terus aktifkan diri. Buat-buat rajin di ofis.

senaman-kuruskan-badan-4

7. BUKAN SENAMAN YANG MAMPU BAKAR KALORI. Ya, ada aktiviti yang BUKAN senaman tetapi membantu membakar kalori anda.

Aktiviti mudah dan boleh dilakukan di rumah. Sapu sampah, bersihkan halaman rumah, bersihkan daun-daun kering, memasak dan aktiviti yang banyak menggerakkan badan.

Ini antara yang saya lakukan apabila cuaca tidak mengizinkan atau datang mood malas. Serius, ia akan membantu dalam proses mengurangkan berat badan.

Seperti yang selalu saya ulang, 70% adalah dari gaya pemakanan dan hanya 30% daripada senaman.

Senaman akan mempercepatkan sedikit proses mengurangkan berat badan, tetapi kadar pengawalan makanan tetap jadi keutamaan.

Saya harap dan berdoa agar anda berjaya dan mampu seimbangkan kedua-duanya. Tiba masa untuk ubah gaya hidup agar lebih aktif dan tidak pasif.

Teruskan usaha, biar sesiapa pun yang menghina dan mencela, hidup anda.. pilihan anda.

Kalau bukan sekarang untuk aktifkan diri, bila lagi?

Teruskan!

Baca lagi : Lelaki Ini Berkongsi Bagaimana Beliau Hilangkan 40Kg Dengan Cara Sihat Dan Murah

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram