Tujuh penjawat awam dari Pejabat Tanah Daerah Klang telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemindahan hak milik tanah secara haram, menurut Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Selangor, Datuk Dr. Yusri Zakariah.

Ketika bercakap kepada media selepas melancarkan kenderaan Low Loader dan perbarisan bulanan Bahagian Penguatkuasaan dan Pentadbiran, Yusri mengesahkan bahawa semua yang terlibat telah dipindahkan ke jabatan lain yang tidak berkaitan dengan hal ehwal tanah sementara menunggu siasatan penuh daripada pihak polis.

Yusri menjelaskan bahawa salah laku ini dipercayai berlaku semasa peralihan daripada sistem lama kepada sistem baharu, e-Tanah.

Kes ini dikatakan melibatkan beberapa individu dalaman yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem pada masa itu.

“Siasatan dalaman sedang dijalankan, dan kami telah menyerahkan kenyataan, bukti, dan dokumen berkaitan kepada pihak polis untuk membantu siasatan yang sedang berlangsung,” katanya seperti yang dilaporkan NST.

Beliau juga menekankan bahawa pihak jabatan telah mengenalpasti kelemahan tersebut dan sedang merangka langkah-langkah bagi memastikan insiden serupa tidak berulang.

Sebagai langkah pencegahan, Yusri menasihatkan semua pemilik tanah agar membuat semakan secara berkala ke atas hak milik tanah mereka.

“Pastikan nama anda masih tercatat pada geran tanah dengan melakukan carian persendirian setiap tahun. Ini boleh membantu mengelakkan sebarang masalah yang mungkin berlaku,” ujar beliau.

Kes ini mula terbongkar selepas seorang penolong pegawai daerah membuat laporan polis pada awal November.

Hasil siasatan membawa kepada pendedahan sebuah sindiket yang dipercayai terlibat dalam transaksi pemindahan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.

Seramai 17 individu, termasuk tujuh kakitangan Pejabat Tanah Klang, telah ditahan.

Mereka terdiri daripada 10 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 26 hingga 59 tahun, menurut kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.