Pelakon senior, Kenji Sawahi atau nama sebenarnya, Lim Boon Wah dalam satu kenyataan mendedahkan dia sudah mendalami agama Islam kira-kira 7 tahun lalu bersama sahabat baiknya yang juga merupakan seorang ustaz.

Menerusi laporan, Kenji menjelaskan bahawa dia belajar mendalami Islam dengan kerelaan hatinya kerana amat berminat dengan agama itu serta tertarik dengan sikap hormat menghormati orang Melayu di antara satu sama lain tanpa mengira bangsa.

Baca Juga:

Tambahnya, dia berharap dia akan memperoleh hidayah daripada Allah dan percaya tiada halangan daripada keluarga jika dia memilih masuk Islam satu hari nanti sebagai pegangan kekal.

Menurut Kenji, dia dibesarkan oleh datuk dan nenek yang tinggal dalam perkampungan orang Melayu serta orang Siam di Perlis kerana ibu bapanya adalah pelakon opera Cina yang membuat persembahan di seluruh negara.

“Keluarga saya yang membuka kedai runcit adalah satu-satunya berbangsa Cina di situ. Jadi, saya sudah terbiasa dan didedahkan dengan kehidupan yang harmoni dalam masyarakat di kampung itu, termasuk tiada masalah juga orang Cina seperti saya datang dan masuk ke masjid kerana diundang sendiri oleh imam.

“Datuk dan nenek saya juga amat menghormati agama Islam apabila di luar dan dalam rumah kami tidak dibenarkan bawa masuk serta makan daging khinzir. Sebabnya, datuk dan nenek tidak mahu ada kekotoran dan rasa kurang selesa orang Melayu untuk datang ke kedai kami.

“Dari situ, saya sebenarnya sudah terbiasa dengan Islam dan sifat ingin tahu untuk mendalami agama ini (Islam) berterusan sampai sekarang dan semoga harapnya ada rezeki untuk saya memperoleh hidayah daripada Tuhan,” katanya.

Difahamkan, ada dakwaan yang mengatakan Kenji merupakan seorang mualaf tetapi sebenarnya dia masih lagi mendalami agama Islam.