Wah! Susahnya memilih filem-filem terbitan orang seni tempatan. Akhirnya, hanya 9 buah filem yang dipilih. Filem-filem ini ditayangkan di pawagam pada tahun 2014. Pilihan ini bukanlah berdasarkan jumlah kutipan tetapi dari segi jalan cerita, skrip, lakonan dan lain-lain lagi faktor yang kami rasa ia menyumbang ke arah kesedapan sesebuah filem. Jadi, jangan pelik jika filem yang kami senaraikan disini tidak mendapat jualan tiket yang tinggi tetapi kami kata ia best!
1. Terbaik Dari Langit
Pengeluar: Astro Shaw Sdn Bhd
Genre: Drama/Kembara
Jualan Tiket: Sedang Tayang Di Pawagam
Terbaik Dari Langit berkenaan perjalanan dan usaha sekumpulan sahabat lama yang terpisah 15 tahun selepas menamatkan sekolah menengah. Mereka berkumpul semula untuk membikin sebuah filem tentang makhluk asing dan UFO dengan menjejaki 3 kawasan yang telah dikenalpasti oleh Berg lakonan Bront Palarae. Mula-mula mereka yakin dengan idea ini. Tetapi mula goyah apabila melihat seperti apa yang mereka buat ini sia-sia. Timbul pelbagai konflik dan ketegangan antara mereka. Akhirnya, sesuatu yang tidak pernah mereka jangkakan telah berlaku di dalam kisah mereka ini.
Kembara bikin filem ini diterajui Berg (Bront Palarae), Ijam (Iedil Putra), Toyu (Amerul Affendi), Ali (Megat Sharizal) dan Sofia Jane (Nadiya Nisaa). Ia berkisar tentang persahabatan dan kembara yang bakal memberi impak pada diri mereka. Filem Terbaik Dari Langit ini memang best dan lain dari yang lain. Ia berbaloi ditonton, lebih-lebih lagi ayat-ayat dalam filem ini best, tak bosan, cara shoot (sinematografi ek?) pun menarik. Jika ada lawak pun, ia bukanlah lawak bodoh. Tontonlah sendiri, baru tahu penangannya ;)
2. Manisnya Cinta Di Cappadocia
Pengeluar: Astro Shaw Sdn Bhd
Genre: Komedi/Drama/Keluarga
Jualan Tiket: RM 434,161.00 (Sedang Tayang Di Pawagam)
Manisnya Cinta Di Cappadocia ialah sebuah filem yang diadaptasi dari novel Anis Ayuni. Ia mengisahkan tentang cinta 3 segi antara Ifti Liyana, Fredo dan Nazmi. Ifti Liyana seperti sudah hilang kepercayaan pada golongan lelaki apabila melihat nasib kakaknya. Tetapi dalam masa yang sama ada tekanan untuk dia cari pasangan kerana adiknya Izi nak kahwin tapi tidak mahu langkah bendul Ifti. Dari situ pelbagai kisah sedih, lawak, romantik dan serius menerjah sepanjang Ifti mencari (dicarikan?) calon suami dan berkenalan dengan lelaki bernama Nazmi nun jauh di Turki.
Komen dari segi sinematografi, latar cerita ini cantik, lebih-lebih lagi semasa di Cappadocia, Turki. Rasa nak pergi ke sana sahaja! Pilihan muzik juga menarik. Watak-watak di dalam filem ini juga terdiri daripada kombinasi pelakon-pelakon terkenal dan berwibawa seperti Nur Fazura, Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Ogy Ahmad Daud, Eija, dan Faizal Hussein. Keseluruhannya, cerita ini best dilayan, tak berat sangat sebab ia straight forward dan skrip dari Rafidah Abdullah 3R best.
3. Kami Histeria
Pengeluar: Astro Shaw Sdn Bhd
Genre: Keluarga
Jualan Tiket: RM 874,152.50
Kami Histeria menceritakan tentang sebuah kumpulan indie bernama Histeria dianggotai lima rakan sekolej dan serumah. Mereka selalu memuatnaik video nyanyian mereka di Youtube. Kisah ini bermula apabila mereka berpindah ke rumah sewa baru. Mereka melakukan rakaman suara di rumah itu dan memuatnaik ke Youtube. Tanpa disangka-sangka, ia meraih sambutan yang menggalakkan, sekaligus menjadikan mereka popular. Jadi mereka bertambah yakin untuk teruskan band tersebut. Tapi populariti mereka makin menurun dan lagu baru selepas itu kurang mendapat sambutan. Semasa buat post-mortem, mereka sedari ada satu kelainan pada lagu yang mempopularkan mereka itu. Dari situlah pelbagai peristiwa berlaku kerana mereka sanggup melakukan apa saja untuk berjaya.
Keseluruhannya, tak bosan menonton filem ini. Ia memang kelakar dan menghiburkan. Lebih-lebih lagi ia menampilkan 5 pelakon hebat iaitu Nur Fazura, Diana Danielle, Mila, Nad Zainal, dan Sara Ali. Dalam cerita ini juga, kita akan cuba meneka-neka apa yang berlaku dan siapa Izzue Islam yang sebenarnya.
4. The Journey
Pengeluar: Astro Shaw Sdn Bhd
Genre: Keluarga
Jualan Tiket: RM 17,170,341.75
The Journey mengisahkan Bee yang sudah lama tidak pulang ke kampung halamannya di Cameroon Highlands. Kali ini dia pulang dengan membawa hajat yang besar iaitu memohon restu ayahnya untuk dia berkahwin dengan orang putih bernama Benji. Ayahnya, Uncle Chuan ialah seorang yang berfikiran konservatif dan tidak suka akan idea perkahwinan campur kerana itu akan mengganggu-gugat budaya dan tradisi yang dia banggakan selama ini. Bee seakan berputus asa tetapi tidak bagi Benji yang berusaha menawan hati Uncle Chuan.
Kisah ini menarik apabila dua watak utama lelaki ini bertembung. Dengan perbezaan budaya dan latar belakang, mereka saling mempelajari perbezaan yang ada pada mereka. Akhirnya, mereka sedar bahawa mereka saling melengkapi buat keluarga mereka, terutama demi Bee.
5. Lelaki Harapan Dunia
Pengeluar: Everythings Film Sdn Bhd
Genre: Komedi/Drama
Jualan Tiket: RM 149,639.50
Kisah Lelaki Harapan Dunia ini bermula dengan sekumpulan penduduk kampung mahu membantu menunaikan hajat Pak Awang iaitu membawa sebuah rumah dari hutan ke dalam kampung mereka. Dengan kerjasama yang erat, rumah itu diangkat bersama-sama oleh para lelaki kampung tersebut. Sejak usaha mengangkat rumah itu, pelbagai peristiwa pelik terjadi pada penduduk kampung sehinggalah mereka digemparkan dengan kewujudan orang minyak.
Mula-mula kisah ini memaparkan kerjasama antara penduduk kampung yang terserlah apabila sama-sama sanggup bersusah-payah memindahkan rumah. Tetapi fokus dan kerjasama mereka beransur terlerai dan saling meragui apabila timbul soal orang minyak. Satu rumors sahaja sudah berupaya mengacau-bilaukan sebuah kampung yang gah dengan para lelakinya. Disebalik semua itu, sebenarnya ramai orang kurang gemari filem ini kerana ia menyentuh beberapa isu budaya, bangsa, jantina dan agama sehingga mengundang pelbagai reaksi dan perdebatan.
6. CEO
Pengeluar: Ara Film Sdn Bhd
Genre: Komedi
Jualan Tiket: RM 289,597.00
CEO mengisahkan Adam (Remy Ishak) yang berjawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat ternama memiliki sifat bongkak dan sombong kerana status dan kejayaannya di usia muda. Sikap Adam itu ternyata kurang disenangi ramai. Kisah malang Adam bermula selepas dia difitnah menyelewengkan duit syarikat dan dibuang kerja. Ini sekaligus menyebabkan Adam miskin dalam sekelip mata. Sufian pula seorang pemuda biasa yang bekerja di restoran memiliki kehidupan yang ceria dan sempoi bersama rakan-rakannya. Hidup Sufian berubah sejurus selepas keluar dari penjara kerana dituduh mencuri hingga dia mengetahui satu rahsia yang mempunyai hubung kait dengan Adam. Apakah yang berlaku sebenarnya dan apakah ada bukti ke atas Adam yang dituduh menyeleweng?
7. Sejoli
Pengeluar: Primeworks Studios Sdn Bhd
Genre: Komedi/Cinta
Jualan Tiket: RM 1,451,985.25
Filem Sejoli mengisahkan Joe (Bront Palarae) dan Gina (Maya Karin) yang ditinggalkan oleh pasangan masing-masing. Mereka membawa diri ke Phuket. Beberapa insiden telah menemukan mereka. Dari pertemuan itu mereka mengetahui bahawa mereka adalah senasib dalam perhubungan cinta. Lalu membawa kata sepakat untuk mendapatkan kembali pasangan masing-masing. Pelbagai taktik kotor dilakukan oleh Joe dan Gina dengan harapan hubungan Nita dan Hardy akan berakhir. Tetapi sampai satu ketika, mereka berdua keliru samada inikah yang betul-betul mereka mahu dan membahagiakan mereka.
8. Abang Long Fadil
Pengeluar: Skop Production Sdn Bhd
Genre: Komedi/Aksi
Jualan Tiket: RM 4,610,811.00
Abang Long Fadil mengisahkan Fadil yang sudah tidak mahu lagi masuk campur dalam dunia gangster. Untuk mendapat kebebasan itu, Shark meminta Fadil melakukan satu tugasan terakhir sebagai tebusan untuk Fadil bebas dari geng Shark iaitu untuk menakluk kawasan Kampung Berani.
Cerita ini ala-ala seperti Kung Fu Hustle dan Shaolin Soccer termasuklah unsur grafiknya yang kelihatan agak menarik.
9. Gila Baby
Pengeluar: Primeworks Studio Sdn Bhd
Genre: Aksi/Komedi
Jualan Tiket: RM 458,976.50 (Sedang Tayang)
Bob (Beto Khusyairi) memerlukan sejumlah wang bagi merawat ayahnya yang terlantar sakit. Dia terdesak hingga meminta tolong dari kawan lamanya, Roy (Sharnaaz Ahmad). Roy menugaskan dia mencuri sebuah kereta dan dia berjaya melakukannya. Cuma keadaan jadi kelam-kabut apabila dia turut mencuri seorang bayi yang merupakan cucu kepada seorang gengster.
Amacam? Best ke tak best? Ada sesetengah filem di atas ini sedang ditayangkan di pawagam. Jadi, apa kata anda pergi tonton dan nilai sendiri ;)
Kongsikan ini dengan famili dan rakan anda di FB atau Twitter.
LIKE Facebook The Vocket disini