Seorang wanita warga China ditahan polis pada Rabu lalu selepas menceroboh Depoh Tunda Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati untuk membawa lari kereta tanpa membayar denda.

Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, kakitangan MPAJ yang berada di depoh itu didatangi wanita warga China berusia 45 tahun.

Beliau berkata, wanita itu kemudian mengambil Perodua Axia tanpa membuat pembayaran denda yang dikenakan oleh pihak MPAJ.

“Susulan itu, pada jam 7.45 malam hari sama, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya menahan suspek di hadapan sebuah rumah Taman Melawati, di sini.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Suspek adalah isteri kepada warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan kereta wanita warga China itu ditunda kerana menghalang lalu-lintas.

“Suspek direman dua hari sehingga semalam sebelum diberi jaminan polis. Sementara kereta terbabit dirampas bersama anak kunci,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan pertuduhan.