Kejayaan mara ke pentas final GP Pulau Pinang sudah cukup untuk menobatkan Perak Bison selaku juara keseluruhan saingan STL 2025.

Konsisten mengutip mata dalam semua pusingan GP walaupun bermula dengan sekadar menamatkan kedudukan di tempat kelima ketika GP Terengganu menjadi senjata utama buat anak-anak buah Dzafril Anuar untuk melakar kejayaan bermakna ini di Kompleks Sukan Balik Pulau, malam tadi.

Baca Juga:

Walau apa jua keputusan dicatatkan kesemua pasukan pada hari ini terutamanya melibatkan Kuala Lumpur Thunder dan Negeri Sembilan Antlers, tiada pasukan lain mampu menghalang Perak Bison mengukir kejayaan manis ini.

Turun berdepan Negeri Sembilan Antlers yang sudah dua kali meragut impian mereka untuk ke final di GP Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, Perak Bison jelas tidak mahu perkara sama berulang.

Perak Bison Muncul Juara Keseluruhan STL 2025

Regu dibarisi Kritsada Sungvung, Muhammad Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi itu tampil dengan cukup baik pada set pertama untuk menang 15-10.

Namun, kecemerlangan itu gagal diteruskan pada set kedua apabila Negeri Sembilan Antlers kembali menjelmakan bisa mereka dengan kemenangan 15-8 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Tidak mahu menghampakan peminat setia yang sentiasa hadir memberikan sokongan walau ke mana sahaja mereka beraksi, Perak Bison memperkemaskan aksi pada set ketiga.

Perak Bison Muncul Juara Keseluruhan STL 2025

Ia jelas dibuktikan dengan deretan mata diraih hingga membuatkan Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zulefendi Sumari berada dalam tekanan hebat.

Kesempatan itu diambil Perak Bison dalam mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan 15-5 sekali gus turut memastikan gelaran juara keseluruhan STL 2025 menjadi milik mereka.

Kejuaraan STL Ketiga Buat Perak Bison

Ini merupakan kejuaraan STL buat kali ketiga dikecapi ‘skuad Yeop’ itu yang sebelum ini muncul juara pada musim 2019 dan 2023 dimana pada ketika itu saingan GP masih belum diperkenalkan.

Di final malam ini, Perak Bison akan berhadapan dengan skuad himpunan bintang, Melaka Titans yang tidak terlalu berdepan masalah menewaskan Selangor Pistons 15-9, 15-5.